Saturday, January 22, 2022

Sarawak tidak berdepan tsunami politik

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak tidak akan berhadapan dengan tsunami politik seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 untuk PRN-12 (PRN-12) pada 18 Disember ini.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) yang DAP menjadi sekutunya gagal menunaikan janji dalam manifesto mereka pada PRU-14 itu.

Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, mereka berjanji memulangkan 50 peratus cukai kepada Kerajaan Negeri, menghapuskan hutang PTPTN dan banyak lagi, tetapi selepas 22 bulan memerintah, satupun mereka tidak laksanakan,” katanya semasa Sembang Politik ‘PRN-12 Sejauh Mana Ancaman Pembangkang’ di studio mini Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak, Samudra Hotel, Jalan Nanas di sini.

Seorang lagi ahli panel dalam acara itu ialah mahasiswa UNIMAS, Mohd. Nazrul dan moderatornya ialah bekas Editor Kanan Berita Harian, Kadir Dikoh.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menolak dakwaan kononnya GPS tergesa-gesa mengadakan PRN-12 disebabkan takut kepada Undi 18.

Hakikatnya, beliau berkata, oleh kerana Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah yang pertama meluluskan usul Undi 18 itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru tiada sebab Kerajaan GPS untuk tergesa-gesa mengadakan PRN-12.

Menurut Fadillah, Kerajaan GPS Sarawak tidak takut kepada ancaman pembangkang disebabkan GPS telah bersedia dan berkhidmat begitu baik kepada rakyat dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menyantuni rakyat.

“Kita dalam GPS sentiasa bekerja. Inilah satu kelebihan, cuma pendekatan itu berbeza di bandar dan luar bandar. Pilihan raya negeri kali ini boleh diibaratkan sebagai memberi satu mesej kepada kepada parti dari luar supaya jangan masuk campur dalam urusan politik di negeri ini,” tegas beliau.

“Semua calon GPS yang bertanding kali ini untuk menawarkan perkhidmatan berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk berebut-rebut untuk mendapat kuasa. Semasa pentadbiran Tun Pehin Sri Abdul Taib, kita perkenal politik pembangunan, semasa Tok Nan menuntut hak Sarawak dalam MA63 dan kini Abang Johari untuk meminda perlembagaan.

“Sebahagian daripada hak yang Sarawak tuntutkan telah diperoleh dan Petronas pula bersetuju membayar cukai lima peratus ke atas produk petroleum dari negeri ini. Kita percaya, jika Kerajaan GPS mendapat mandat semula daripada rakyat, banyak lagi akan dicapai,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru