Sunday, July 3, 2022

PSB hanya bertanding di 70 kerusi

Secara Rawak

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengesahkan tidak bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Sebaliknya parti itu hanya meletakkan 70 calon berbanding 82 calon yang diumumkan sebelum ini.

Presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh berkata keputusan akhir itu dibuat bagi menumpukan misi untuk mendapatkan kerusi yang boleh dimenangi.

“Kita tidak akan bertanding di semua kerusi, bukan sebab kita tidak cukup calon yang berkualiti.

“Tetapi kita mahu menumpukan sepenuh perhatian memenangi lebih banyak kerusi,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media PSB di Sibu pada Ahad.

Menurutnya, PSB mempertaruhlan 70 calon termasuk 10 calon wanita pada PRN12 yang akan diadakan pada 18 Disember ini melibatkan kurang daripada 20 orang muka baru dan lama.

Ia termasuk beliau sendiri yang akan mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan yang disandangnya selama enam penggal sejak 1991.

PSB juga akan bertanding di kerusi Dudong dan Nangka.

Sebelum ini, DAP menyatakan keterbukaan mereka untuk berunding mengenai kerjasama dengan PSB berhubung kerusi Dudong dan Bawang Assan.

Namun tiada kata sepakat dicapai antara dua parti berkenaan dan DAP telah mengumumkan calon mereka di kerusi berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru