Saturday, January 22, 2022

Bertanding dengan matang, tawar dasar terbaik untuk rakyat – Kelvin Yii

Secara Rawak

KUCHING: Biar pilihan raya ini ditandingi dengan persaingan matang antara polisi pembangunan negeri yang ditawarkan parti.

Demikian tegas Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Menurutnya setiap parti berhak menghantar wakil masing-masing untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Namun apa yang membezakan antara calon katanya adalah polisi pembangunan menerusi manifesto yang dirangka.

“Memang dalam setiap pilihan raya ini adalah satu amalan demokrasi, kita tidak boleh menghalang mana mana pihak untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi biarlah ini satu persaingan yang matang antara polisi dan idea yang bernas bagaimana kita nak bangunkan Sarawak dan kawasan Batu Kawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pemimpin DAP bersama rakyat di perkarangan Ibu Pejabat DAP Sarawak semalam.

Kelvin yang juga calon DAP bagi kerusi DUN Batu Kawah mengakui bertanding di kawasan itu bukan sesuatu yang mudah terutama berdepan penyandangnya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang pasti akan menggunakan jentera kerajaan sebagai medium kempen.

“Walau apa pun kita tetap akan berjuang demi masa depan Sarawak yang maju.

“Kita tahu perkara itu dan kita hormat penyandang (Dr Sim),” katanya.

DUN Batu Kawah bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya lima penjuru antara GPS, PH, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Mengulas mengenainya, Kelvin berkata kehadiran persaingan dari pelbagai penjuru itu menunjukkan demokrasi yang sihat antara parti-parti di Sarawak.

“Saya berharap ini akan menjadi satu persaingan politik yang matang kerana ini sebenarnya baik untuk demokrasi dan baik untuk rakyat di Batu Kawah jika mereka diberikan pilihan.

“Ia adalah untuk memastikan setiap penduduk di Batu Kawah mendapat manfaat secara terus daripada pembangunan yang ada,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru