Saturday, January 22, 2022

Nasib belia di Muara Tuang terus diperjuangkan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Nasib golongan belia akan diperjuangkan dengan cara yang teratur dengan mewujudkan perumahan mampu milik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, beliau telah bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan perumahan mampu milik yang dianggarkan lebih 1,000 unit di dalam kawasan berkenaan.

Menurutnya, lokasi perumahan itu terletak tidak jauh dari Kem Semboyan dan tapak juga telah dikenal pasti bagi projek perumahan seluas 140 ekar berkenaan.

“Jadi dalam masa lima tahun atau kurang, saya memohon agar kerajaan Sarawak dapat membina lebih 1,000 unit rumah di bawah program Rumah Spektra Permata (RSP) di kawasan DUN Muara Tuang bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah (B40) khususnya golongan belia untuk memiliki rumah sendiri.

“Namun begitu, projek ini akan mengambil masa sebab dahulu kita tiada pendapatan yang lebih, namun apabila kerajaan negeri melawan Petronas kita mendapat lebihan cukai SST minyak lebih dari 10 bilion dan hasil dari pendapatan itu telah membolehkan Ketua Menteri dapat merancang membina rumah spektra dan rumah mampu milik yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Santuni Belia SABERKAS di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan pada malam Jumaat.

Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak menyediakan bantuan deposit kepada pasangan belia untuk memiliki rumah pertama dengan menyediakan bantuan deposit sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah.

Jelas beliau, bantuan tersebut khusus untuk golongan belia yang sudah berkahwin namun mempunyai kekangan dari segi kewangan bagi pembayaran deposit rumah.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu akan membantu golongan belia DUN Muara Tuang khususnya penghantar Food Panda dan Grab Food dengan mewujudkan satu badan kebajikan dengan memberikan fokus seperti menyediakan bantuan kewangan, mengurus penyakit, membantu mangsa sekiranya mengalami bencana atau musibah dan sebagainya.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru