Saturday, January 22, 2022

Wajah dan watak calon yang diingini pengundi

Secara Rawak

Tanggal 6 Disember 2021 penamaan calon bakal diadakan bagi membuka tirai untuk PRN 12. Kita bakal menyaksikan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibuka untuk proses demokrasi melalui pilihan raya. Pesta demokrasi kali ini tidak akan semeriah sebelum ini kerana kita masih bertempur dengan pandemik Covid-19. Namun begitu, proses serta elemen demokrasi itu harus berfungsi dengan sebaik-baiknya.

Bercakap berkenaan dengan penamaan calon, semua parti politik sudah memuktadkan keputusan walaupun dalam minit-minit terakhir proses penamaan calon berkenaan dengan siapa calon yang bakal diketengahkan untuk bertarung dalam PRN-12 ini. Bagi penyandang yang bakal diketengahkan semula untuk PRN 12 sudah pasti dapat tidur lena. Manakala bagi penyandang yang secara sukarela mengundur diri sudah pasti menantikan sama ada calon yang dilobi dipilih untuk bertanding bagi kerusi sedia ada.

Apa yang pasti, bagi penyandang yang masih ingin dicalonkan tetapi tidak mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti sudah pasti tidak tidur lena dan berfikir untuk melakukan sesuatu sekiranya merasakan sokongan dan dukungan rakyat masih bersama mereka. Ini yang selalu kita lihat penyandang yang masih ingin menjadi calon namun tidak dicalonkan selalunya akan bertanding atas kapasiti sebagai calon bebas. Keyakinan untuk menang itu amat tinggi sehingga susah menerima keputusan apabila kalah.

Pada PRN 12 kali ini, sudah pasti parti-parti politik yang bertanding akan membuat percaturan awal untuk memastikan kemenangan boleh diperolehi dengan mengemukakan calon yang diyakini dapat menyumbang kemenangan kerusi DUN kepada parti masing-masing. Pemilihan calon yang tepat sama ada mengekalkan penyandang atau sebaliknya perlu diteliti dengan tuntas agar tidak putih mata apabila keputusan rasmi diumumkan.

Dewasa ini, parti-parti politik harus teliti dalam memilih calon terutama bagi parti-parti yang baharu atau belum kukuh kerana peristiwa lompat parti telah kita saksikan selepas PRU 14 lepas dan pastikan tidak akan berulang lagi pada PRN-12 Sarawak.

Ironinya, dalam memilih seorang calon untuk mewakili parti, parti politik perlu mengutamakan integriti seseorang sebelum dipilih menjadi calon. Integriti amat penting bagi memastikan seseorang calon yang menang tidak akan melompat demi survival politik mereka sendiri yang akhirnya menjustifikasikan tindakan mereka demi rakyat di kawasan masing-masing. Nama rakyat dijaja demi kepentingan sendiri.

Selain itu, seseorang calon yang bakal diketengahkan harus diterima oleh rakyat di akar umbi bukan hanya didukung oleh pihak yang mempunyai kuasa di sesuatu kawasan seperti penghulu, kaunselor, tuai rumah dan sebagainya. Harus diingat mereka yang berkuasa ini juga mempunyai satu undi seperti rakyat lain di akar umbi.  Maka timbul persoalan yang boleh dirungkai oleh semua, sama ada mereka ini dapat mempengaruhi keputusan undi rakyat akar umbi di peti undi.

Seseorang calon yang bakal diketengahkan oleh parti-parti politik yang bertanding harus mempunyai karisma seorang pemimpin, berpendidikan, senang didekati oleh rakyat, dan yang paling utama seseorang yang bekerja untuk rakyat. Ini penting bagi memastikan seseorang calon yang bakal dipilih oleh rakyat dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Keluh-kesah serta perit-peri rakyat harus menjadi perhatian oleh bakal calon yang bergelar Yang Berhormat atau lebih tepat Yang Berkhidmat.

Situasi yang tidak menentu terutama daripada segi ekonomi dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi harus diselesaikan segera oleh bakal-bakal calon yang menang PRN-12 ini nanti. Seseorang calon itu harus prihatin serta cakna kepada masalah yang dihadapi rakyat. Tindakan ini akan memberi banyak kelebihan kepada seseorang calon. Dalam erti kata lain, calon harus mempunyai sifat empati kepada rakyat.

Sementara itu, sudah banyak juga parti-parti politik yang telah mengumumkan calon-calon mereka seperti DAP, PKR, PSB, PBDSB, PBK, ASPIRASI dan tidak kurang calon bebas untuk beberapa kerusi, namun apa yang ditunggu oleh rakyat Sarawak adalah calon-calon daripada parti GPS. Ini kerana sebagai parti yang ingin mempertahankan hak sebagai kerajaan yang memerintah negeri Sarawak sebelum ini, calon-calon daripada GPS sudah pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak terutama dalam kalangan penyokong mereka.

Dikhabarkan bahawa GPS akan mengumumkan senarai calon untuk kesemua 82 kerusi DUN. Sudah pasti akan ada muka baharu diketengahkan pada PRN-12 ini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan GPS. Persoalaannya, berapa orang muka baharu yang bakal diketengahkan oleh GPS? Berapa ramai dalam kalangan calon-calon GPS adalah wanita?

Parti-parti politik lain yang telah mengumumkan calon mereka ada juga yang mengetengahkan muka baharu dan calon-calon wanita. Besar harapan agar parti-parti politik memberi ruang dan peluang kepada golongan wanita untuk bertanding pada PRN- 12 kali ini. Ini penting bagi menjamin suara wanita dan kesaksamaan gender itu terserlah dalam pentas demokrasi di negara kita.

Apa yang penting, sudah pasti calon-calon yang diketengahkan oleh parti masing-masing adalah calon yang difikirkan oleh parti boleh menang serta menyumbang kerusi kepada parti. Harus diingat bahawa sistem pilihan raya di negara kita adalah sinonim dengan permainan angka. Realiti adalah, isu berkaitan dengan calon ini hanya akan muktamad pada hari penamaan calon nanti.

Justeru, selepas penamaan calon juga kadang-kadang ada juga calon yang akan menarik diri daripada bertanding atas sebab musabab yang calon itu sendiri lebih mengetahui. Oleh itu, perkara berkaitan calon ini amat rencam dalam kamus politik. Sama-sama kita nantikan hari penamaan calon bagi mengetahui calon-calon yang bakal bertanding di kawasan kita.

Penulis ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru