Saturday, January 22, 2022

Ukur kemampuan sebelum berjanji

Secara Rawak

KUCHING: Kewujudan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) disifatkan sebagai perencah bagi menambah warna dan rencah terutama sekali bagi kawasan panas Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi mungkin bukan satu cabaran besar tetapi ia juga dapat memberikan peluang kepada pengundi untuk memilih.

Terdahulu Presiden Aspirasi Lina Soo memaklumkan, pihaknya mempunyai 17 calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kelak manakala 15 daripadanya adalah calon muka baharu.

“Kalau sebelum ini memang kawasan yang dipertandingkan itu didominasikan oleh DAP dan cabaran juga mungkin dirasai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bagi kerusi Dun Batu Kawa.

“Justeru, keputusan yang diambil Aspirasi untuk meletakkan calon mereka di kerusi berkenaan juga mungkin kerana ingin memperkenalkan calon baharu yang belum pernah bertanding dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, sekiranya pengundi ingin membuat perubahan radikal dan inginkan wakil rakyat baharu mungkin mereka ini mempunyai harapan untuk merebut kerusi.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada calon yang diletakkan oleh DAP kerana kita tahu ia kawasan kuat mereka.

“Perkara sebegini juga bergantung kepada calon, jika pengundi memilih berdasarkan calon bukan berteraskan parti mungkin mereka ini (Aspirasi) ada harapan,” ujarnya.

Secara peribadi, menurutnya Aspirasi hanya menghantar calon di kawasan yang dirasakan berpotensi untuk memberi saingan tetapi mereka juga mungkin tidak menaruh harapan tinggi.

“Jadi pada saya aspirasi bertanding kali ini mungkin menggunakan pendekatan menguji kemampuan kalau nasib baik dan dalam keadaan tertentu seperti berlaku pergolakan dalam DAP dan sebagainya, mungkin mereka dapat mencuri peluang untuk meraih kemenangan,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menegaskan bahawa parti atau ahli politik yang akan bertanding pada PRN-12 nanti perlu menjanjikan perkara yang dapat dilaksanakan khususnya berhubung dengan manifesto mereka.

“Jangan menjanjikan bulan dan bintang tetapi ukur kemampuan apabila berjanji kerana ia penting untuk memastikan sokongan berterusan daripada rakyat,” katanya.

Untuk rekod, dua calon lama Aspirasi ialah Lina yang akan bertanding di kerusi Dun Padungan dan Pengerusi Aspirasi Buln Ribos di Serembu.

Manakala, antara calon muka baharu Chan Chee Hiong (Pending), Leong Shaow Tung (Batu Lintang), Tan Kok Chiang (Kota Sentosa), Chong Siew Hung (Mambong), Simon Jangan (Kedup), Jame Nyuking (Bukit Semuja) dan Wong Chin King (Repok), Ngelayang Unau (Machan), Lau Kiu Ming (Bukit Assek), Josephine Lau Kiew Peng (Dudong), Loh Wui Ping (Pelawan),  Chieng Lea Phing (Tanjong Batu),  Fong Pau Teck (Batu Kawa), Hani Jaraee (Piasau) dan Chin Fen Siong (Pujut).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru