Saturday, June 25, 2022

Mungkinkah Pas dapat kerusi pertama di Sarawak?

Secara Rawak

KUCHING: Pas memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menggunakan logo sendiri dalam PRN-12 Sarawak pada 18 Dis nanti

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, jumlah kerusi yang dipertandingkan masih belum diputuskan.

“Pas telah memutuskan untuk bertanding di PRN Sarawak, namun dengan jumlah kerusi yang munasabah dan sesuai,” katanya seperti dipetik Harakah Daily.

Untuk rekod, sebelum ini parti Islam itu dilaporkan akan bertanding di 11 kerusi.

Dalam PRN pada 2016, Pas bertarung di 11 kerusi, dan tewas di semua kerusi berkenaan, termasuk tujuh calon hilang wang pertaruhan.

Parti berkenaan hanya meraih sebanyak 13,176 undi atau 1.72 peratus undi keseluruhan dalam PRN itu.

Banyak pemerhati berpendapat bahawa lebih sukar untuk Pas dalam PRN kali ini memandangkan terdapat parti lain seperti PSB, Sedar dan PBK yang lebih berpengaruh daripadanya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, persiapan PRN Sarawak hanya melibatkan beberapa tenaga penting sahaja yang akan membantu jentera parti itu melaksanakan kempen sebelum hari mengundi.

Beliau mengharapkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kempen pilihan raya dapat memberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan calon berkempen.

“PRN ini kita harap kelonggaran bertemu pengundi dapat dipertimbangkan kerana masalah liputan media sosial yang agak rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengharapkan semua pihak menyokong calon-calon yang akan bertanding di Bumi Kenyalang tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru