Sunday, June 26, 2022

PM akui wartawan wira tak didendang

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri berdepan wabak Covid-19 demi melaksanakan tugas, Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan wartawan sebagai wira tak didendang.

Atas sumbangan besar para wartawan kepada negara, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas peranan sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan semasa pandemik ini.

Berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2021, di Kuala Lumpur pada Selasa, perdana menteri berkata, tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita panas, malah mampu menjadi mata serta telinga membantu memastikan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.

Beliau faham banyak organisasi media tidak mampu bertahan dan terpaksa ditutup kerana jualan akhbar dan iklan semakin merosot di samping kos cetak serta pengangkutan meningkat.

“Kewartawanan tradisional yang melalui proses pengesahan, penyuntingan yang ketat, pasti menghasilkan berita benar atau sahih dan sekali gus membolehkan rakyat memahami konsep sebenar Keluarga Malaysia atau dasar kerajaan yang lain.

“Saya percaya rakyat masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan dalam situasi seperti ini,” kata beliau.

Sementara itu, dalam lawatan ke Indonesia baru-baru ini, perdana menteri membantu mengeratkan hubungan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang terjalin sejak 2007.

Beliau percaya Iswami dapat memainkan peranan penting bagi wartawan kedua-dua negara dan berharap hubungan wartawan Malaysia dengan rakan di negara jiran melalui Asean dapat diperkukuh.

Kerajaan menurut Ismail mengekalkan 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau Hawana yang pertama kali dijayakan pada 2018.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru