Sunday, July 3, 2022

Penunggang, pembonceng ditahan polis

Secara Rawak

KUCHING: Seorang penunggang dan pembonceng ditahan polis dalam Op Khas-No Pendaftaran kerana disyaki menunggang motosikal curi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek, 16 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC berwarna biru ditahan di Lebuh Raya Kuching Samarahan, semalam.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati penunggang positif dadah jenis Methamphetamine manakala pembonceng adalah negatif.

“Mereka telah ditahan di Balai Polis Tabuan Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Alexson berkata, dalam operasi yang bermula sekitar jam 11.30 pagi hingga sehingga 1.40 petang, sebanyak 157 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

“Antara kesalahan yang dikenakan saman adalah tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, ubahsuai ekzos, tidak menggunakan tali pinggang keledar, abai isyarat lalu lintas, ubahsuai struktur atau peralatan, tidak menampal pelekat ‘P’ dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, saman yang dikeluarkan melibatkan sebanyak 139 buah kereta, 56 motosikal, 10 pacuan empat roda, empat van, dua lori dan sebuah kenderaan multi guna (MPV).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru