Sunday, January 23, 2022

Pertandingan 5 penjuru dijangka di Engkilili

Secara Rawak

Dalam PRN-11 Sarawak lepas, DUN N.33 Engkelili telah dimenangi oleh Dr Johnical Rayong Ngipa yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada masa itu dengan mendapat 3857 majoriti undi. Beliau telah memenangi kerusi DUN N.33 untuk penggal ke – 4 dalam pertandingan 4 penjuru di antara BN, PKR dan 2 orang calon bebas pada PRN-11 tersebut. Pada PRN-12 ini sudah pasti penyandang akan cuba mempertahankan kedudukan beliau di DUN N.33 Engkelili.

Pada PRN-12 ini penyandang yang kini menyarung jersi Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan merupakan Ketua Pemuda serta Naib Presiden parti tersebut turun ke gelanggang berbekalkan majoriti yang besar pada PRN-11 lepas. Persoalannya, adakah beliau mampu mempertahankan kerusi DUN N.33 Engkelili pada PRN-12 ini? Sama-sama kita renungkan dan rungkai persoalan ini.

Bagi pihak GPS melalui parti gabungan iaitu SUPP sudah pasti ingin merampas kembali kerusi ini pada PRN 12 ini. Sehingga ke hari ini, belum ada lagi keputusan muktamad oleh SUPP berkenaan dengan calon yang bakal diketengahkan mereka untuk bertarung merampas kerusi DUN N.33 Engkelili daripada penyandang. Ada dua nama yang hangat diperdebatkan oleh rakyat di akar umbi berkenaan dengan calon SUPP ini iaitu saudara Desmond Sating dan saudara Jack Kua Seng.

Kemungkinan keputusan telah dibuat dan bakal diumumkan pada 4 Disember 2021 nanti. Sama-sama kita nantikan siapakah calon yang bakal dipertaruhkan oleh GPS-SUPP di kerusi DUN N.33 Engkelili ini. Pemilihan calon amat penting bagi GPS-SUPP sekiranya ingin merampas kembali kerusi DUN N.33 Engkelili ini daripada penyandang. Kesilapan memilih calon bakal mengundang padah.

Kekuatan sokongan dan dukungan pengundi di DUN N.33 Engkelili kepada penyandang dapat dilihat melalui majoriti undi yang diperolehi pada PRN-11 lepas. Secara teori, dengan berbekalkan majoriti undi sebanyak 3857 penyandang dilihat masih mampu untuk mempertahankan kerusi DUN N.33 Engkelili pada PRN-12 ini walaupun beliau telah bertukar jersi pada PRN-12 ini. Keadaan ini amat bergantung kepada pemilihan calon yang bakal diketengahkan oleh parti lain pada PRN-12 ini sekiranya ingin menggugat kedudukan penyandang.

Apa yang pasti, jasa serta pengorbanan penyandang semenjak dipilih mewakili DUN N.33 Engkelili sudah pasti akan menjadi sandaran kepada pengundi yang setia kepada penyandang. Penyandang yang sangat mesra dengan rakyat di akar umbi sudah pasti mempunyai merit untuk terus dipilih oleh pengundi pada PRN-12 nanti. Isu-isu yang berkenaan dengan penyandang yang berlegar di akar umbi akan memberi kesan positif kepada penyandang dalam konteks sentimen rakyat kepada penyandang.

Ironinya, pada PRN-12 ini, pertandingan pelbagai penjuru sudah pasti berlaku untuk kesemua 82 kerusi DUN di Sarawak. Bagi DUN N.33 Engkelili, dijangka pertanding empat ke lima penjuru pasti berlaku. Beberapa parti politik telah mengesahkan akan bertanding untuk dipilih mewakili DUN N.33 Engkelili. Malah, seorang dua calon bebas juga sudah mengesahkan bahawa akan bertanding pada PRN-12 ini di DUN N.33 Engkelili.

Keadaan pertandingan pelbagai penjuru ini sudah pasti akan menyuburkan lagi proses demokrasi. Pentas PRN-12 Sarawak sudah pasti meriah dengan pertandingan pelbagai penjuru. Persoalannya, siapakah yang mempunyai kelebihan apabila berlaku pertandingan pelbagai penjuru? Adakah penyandang mempunyai kelebihan? Sama-sama kita renungkan perkara ini.

Bagi DUN N.33 Engkelili, pertandingan pelbagai penjuru ini memang sentiasa berlaku dalam pilihan raya sebelum ini. Berdasarkan sejarah, penyandang memang mempunyai banyak kelebihan dalam pertandingan pelbagai penjuru. Contoh, seperti PRN-11 lepas, penyandang memenangi kerusi DUN N.33 Engkelili dalam pertandingan empat penjuru yang menyaksikan majoriti undi penyandang mencanak naik daripada PRN-10. Namun, situasi mungkin berbeza untuk PRN-12 ini nanti. Sama-sama kita nantikan keputusan PRN -12 nanti.

Dalam pada itu, pilihan raya di Sarawak memang terkenal juga kerana ramai calon bebas bertanding. Ini kerana, calon bebas mempunyai sejarah tersendiri memenangi kerusi yang ditandingi semasa pilihan raya. Oleh itu, pada PRN-12 Sarawak ini, kelibat calon-calon bebas sudah pasti akan memeriahkan lagi pesta demokrasi di Sarawak. Pada PRU-14 lepas dua kerusi parlimen dimenangi oleh calon bebas di Sarawak iaitu kerusi Parlimen Lubok Antu dan kerusi Parlimen Julau.

Bagi DUN N.33 Engkelili, seorang calon bebas yang sudah lama mempromosikan diri dalam kalangan akar umbi sudah pasti akan memberikan saingan hebat dalam PRN-12 ini. Sekiranya strategi atau pendekatan kempen yang tepat digunakan, sudah pasti calon bebas ini mampu untuk memenangi kerusi DUN N.33 Engkelili. Sejarah membuktikan bahawa jangan dipandang rendah kemampuan calon bebas.

Apa yang pasti, suhu politik di DUN N.33 Engkelili pasti hangat selepas hari penamaan calon nanti. Apabila secara rasmi kempen boleh dilaksanakan, semoga calon-calon yang bertanding mematuhi SOP yang ditetapkan demi menjaga keselamatan rakyat di akar umbi. Jangan kita ghairah berkempen sehingga lupa bahawa kita masih dihantui oleh pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi mutasi varian baharu sudah dikesan di beberapa negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru