Tuesday, August 16, 2022

Sabung ayam: Sekumpulan lelaki lari bertempiaran

Secara Rawak

JULAU: Sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam bertempiran lari selepas diserbu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau, petang semalam.

Bagaimanapun, Polis berjaya menahan seramai tiga orang saspek yang terdiri daripada tiga lelaki berbangsa Iban, yang berusia dalam lingkungan 59 hingga 75 tahun dalam serbuan di kawasan kebun Nanga Sempang Ulu Entabai Julau, kira-kira pukul 3.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superitendan Polis (DSP) Andam Sulin berkata, Polis turut merampas dua ekor ayam sabung hidup, dua ekor ayam sabung mati, satu unit alat penimbang, satu keeping papan tertulis jadual pertaruhan dan dua bilah taji.

“Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat dibawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiyaan Binatang 1963.
“Kejayaan operasi ini adalah hasil maklumat daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau mengingatkan agar orang ramai tidak menjalankan kegiatan judi sabung ayam dan sentiasa mematuhi arahan penguatkuasa.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi juga boleh menyebabkan orang ramai berkumpul sekali gus mendatangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“PDRM khususnya IPD Julau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti sabung ayam dan tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru