Friday, December 3, 2021

Setiausaha, ahli JKKK akan dapat elaun mulai Januari 2022

Secara Rawak

MARUDI: Kerajaan Persekutuan akan membayar elaun setiausaha, pengendalian dan kehadiran mesyuarat bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak mulai Januari 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Mahdzhir Khalid berkata, keputusan pembayaran elaun tersebut diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 November lepas.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan bagi pembayaran elaun tersebut ialah sebanyak RM44.8 juta setahun melibatkan pembayaran kepada seramai 5,976 setiausaha dan 65,736 ahli JKKK Sarawak.

“Pembayaran elaun ini dilihat dapat memantapkan lagi jentera di peringkat akar umbi.

“Ia juga mengeratkan lagi kerjasama di antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan terutamanya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK,” katanya semasa Majlis perasmian Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Bagi Kawasan Marudi di Rumah Panjang Ridab, Sungai Pasir Marudi pada Khamis.

Majlis perasmian BALB tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Turut hadir ialah Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain.

Sementara itu, Dato’ Sri Mahdzhir memberitahu, program BALB diteruskan pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di mana sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 14 projek baharu di Sarawak iaitu masing-masing tujuh projek pada 2021 dan 2022.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru