Sunday, December 5, 2021

Projek bekalan air di Marudi siap sepenuhnya

Secara Rawak

MARUDI: Kira-kira 8,000 penduduk di 32 rumah panjang dan dua kampung di kawasan Marudi kini mengukir senyuman apabila projek bekalan air berimpak tinggi iaitu Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) telah siap sepenuhnya.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut yang siap pada September lepas dibangunkan dengan kos sebanyak RM38.5 juta.

Menurutnya, skop projek itu merangkumi pembinaan Stesen Pam Penggalak Poyut-Nibong, tangki air berkapasiti penyimpanan air sebanyak 1.17 juta liter dan pembinaan tangki aras tinggi tinting berkapasiti 2.76 juta liter.

“Sebelum ini penduduk di 34 kawasan penempatan berkenaan sering menghadapi bekalan air yang tidak mencukupi.

“Jadi, apabila projek ini siap ia telah memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat sekaligus menyelesaikan isu bekalan air yang sering dialami oleh penduduk di kawasan Marudi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasaan Marudi di Rumah Ridab, Sungai Pasir Marudi pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Dato’ Sri Mahdzhir Khalid, Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala,

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu jemputan lain.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.

Tambah beliau, projek berkenaan adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk memenuhi keperluan asas penduduk Marudi dengan menyediakan bekalan air yang bersih dan mencukupi.

“Menerusi pelaksanaan projek ini, tekanan air dapat ditingkatkan dan bekalan air bersih dapat disalurkan secara konsisten ke kawasan di sekitar Marudi terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru