Sunday, December 5, 2021

Penduduk Sungai Agas Baru bakal  dapat bekalan air bersih

Secara Rawak

KUCHING: Bagai sinar di hujung terowong apabila masalah bekalan air yang membelenggu penduduk Kampung Sungai Agas Baru mendapat perhatian Lembaga Air Kuching (LAK).

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek membekalkan air bersih kepada 36 rumah di kampung tersebut dijangka siap sepenuhnya pada April 2022.

Menurutnya, kerja-kerja untuk pemasangan paip dijangka bermula awal Januari tahun depan dan siap dalam tempoh 12 minggu.

“Sudah lama penduduk kampung ini bergantung kepada air hujan untuk keperluan harian seperti mandi, minum dan memasak.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang meluluskan peruntukan untuk penyambungan paip sekali gus membekalkan air bersih kepada penduduk Kampung Sungai Agas Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Bekalan Air dan Penyerahan Peralatan Sukan Dalam Dewan di Kampung Sungai Agas Baru, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, projek yang dibangunkan menggunakan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pantai Damai berharga RM200,000.

“Saya mengharapkan projek ini berjalan lancar supaya penduduk kampung dapat menikmati air bersih dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung (KK) Sungai Agas Baru, Henry Akong turut berterima kasih

kepada kerajaan kerana merealisasikan impian penduduk kampung sejak 40 tahun lalu.

“Kami secara bergotong-royong membuat sistem paip graviti bagi menyalurkan air gunung ke kampung,” jelasnya.

Hadir sama Pengurus Besar LAK Rodziah Mohamad.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru