Sunday, December 5, 2021

Lidam Assam dijangka calon GPS ganti Ambrose di Katibas

Secara Rawak

SONG: Selepas penyandang Datuk Sri Ambrose Blikau  menyatakan kesediaannya untuk berundur dari kerusi DUN Katibas, siapakah yang akan mewakili PBB/GPS di kerusi berkenaan dalam PRN-12 nanti?

Berdasarkan pemerhatian dan sumber di akar umbi, nama paling atas yang disebut-sebut untuk menggantikan Adun lapan penggal di kawasan itu ialah Lidam Assam yang berusia 56 tahun.

Ambrose menyatakan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 1979 itu.

Calon PBDS Felix Bantin Jibom pernah menguasai kerusi itu dari 1987 hingga 1991 selepas tercetusnya peristiwa Ming Court yang menyaksikan pertembungan antara kumpuan diterajui bekas Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yakub dengan ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud.

Kemudian dalam PRN 1991, Ambrose merampas kerusi itu kembali daripada PBDS yang sebelumnya menang atas semangat Dayakisme.

Katibas ialah kerusi DUN di bawah Parlimen Kapit, selain Bukit Goram dan Pelagus.

Dalam PRN lalu, Ambrose menang dengan majoriti 3,052 menewaskan calon DAP Paren Nyawi.

Menurut penduduk di sini, Lidam seorang yang mesra rakyat dan telah memperlihatkan komitmennya terhadap parti, memang calon paling layak mewakili PBB di kawasan majoriti Iban itu.

Sebagai setiausaha politik, beliau yang berasal dari  Rumah Berago Anak Empawi, Nanga Tengadak, Katibas telah menjelajah ke segenap pelosok kawasan itu, dan memahami aspirasi penduduk dan pengundinya.

Lidam  yang dilahirkan pada 1965 mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak dan gas.

Beliau ialah ketua Ranting Katibas Tengah PBB dan ahli Saberkas Cawangan Miri serta Persatuan Dayak Miri.

GPS dijangka ditentang PSB, PKR dan juga PBK dalam PRN pada 18 Disember nanti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru