Friday, December 3, 2021

Kemalangan ngeri akibat sebiji bola boling

Secara Rawak

KANSAS: Sepasang suami isteri di Kansas mengalami insiden kemalangan yang agak luar biasa baru-baru ini.

Isterinya dikatakan terlanggar suaminya dengan kereta sebanyak dua kali gara-gara sebiji bola boling.

Menurut laporan di Kansas City Star dan media tempatan yang lain, pasangan itu yang kedua-duanya berusia 25 tahun, memandu di sekitar Kansas City apabila sebiji bola boling berguling di jalan dan melekat di bawah kereta mereka.

Suaminya merangkak ke bawah kereta dan cuba mengeluarkannya.

Ketika itu juga seorang lelaki tiba-tiba muncul dan meluru ke arah kereta mereka.

Dia cuba mengambil dompet wanita tersebut yang diletakkan di tempat duduk pemandu.

Saat wanita itu cuba menghalang suspek dari mengambilnya, kakinya tertekan pedal minyak.

Ketika itulah dia melanggar suaminya.

Apabila dia mendengar mangsa menjerit, dia mengundur kereta tersebut ke belakang, namun tindakannya menyebabkan suaminya dilanggar untuk kali kedua.

Melihat keadaan itu pencuri tersebut segera melarikan diri tanpa membawa dompet wanita tersebut.

Sang suami dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal tetapi keadaannya sudah stabil.

Menurut autoblog.com, beberapa jam selepas insiden tersebut berlaku, seorang lelaki datang ke balai polis berdekatan dan mengaku menggulingkan bola boling ke arah sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

Namun kehadiran lelaki yang cuba mencuri dompet wanita itu masih menjadi misteri kerana siasatan mendapati kedua-dua kejadian itu tiada kaitan.

Polis menyifatkan ia insiden yang luar biasa dan satu kebetulan yang tragis.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru