Sunday, December 5, 2021

Jalan masuk ke bandar di Limbang bakal siap 31 Mac 2022

Secara Rawak

LIMBANG: Jalan masuk ke bandar Limbang daripada dua laluan kepada empat laluan kini sedang dalam pembinaan.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, projek ini sangat dinantikan masyarakat di Daerah Limbang.

Katanya, projek ini dilaksanakan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) sepanjang 1.1 kilometer dengan kos RM20 juta.

“Projek ini sepatutnya siap dalam tempoh 15 bulan pada Januari 2022 tetapi tempoh pembinaannya telah dianjakkan disebabkan pandemik. Insyallah projek ini akan siap pada 31 Mac 2022.

“Projek ini dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan kenderaan yang masuk ke bandar Limbang terutamanya pada waktu puncak,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Jalan Berkembar ke Bandar Limbang pada Selasa.

Tambah Datuk Dr Abdul Rahman lagi, pihaknya ada memohon satu lagi Projek Laluan P-Turn memudahkan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah sama dari arah bandar Limbang atau hendak masuk ke bandar Limbang.

“Kita menjangkakan apabila beberapa projek yang berdekatan siap bilangan orang yang datang ke Limbang semakin ramai. Sebab itulah laluan-laluan ini perlu disediakan, laluan untuk berpusing.

“Di kawasan ini banyak pembangunan sedang rancak dilaksanakan kita ada Tebingan Sungai Limbang, Muzium, Taman Tasik Bukit Mas dan pembinaan sebuah lagi jejantas yang menghubungkan Muzium Pentadbiran Limbang,” tambahnya.

Kesemua projek ini bakal mengubah wajah bandar Limbang apabila siap nanti menjelang tahun 2023 dan 2024 sekiranya tiada masalah dalam pembinaannya.

Turut sama hadir Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Pengurusan Projek RECODA Mohammad Safri Ibrahim dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru