Sunday, December 5, 2021

Hadi: Pas bukan parti yang menagih simpati

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pas hanya menerima Muafakat Nasional (MN) yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional (PN).

Menurut presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang, demi agenda perpaduan umat yang sebenarnya, maka Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan, sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

“Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya.

Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan.

Berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

“Oleh yang demikian, secara tegasnya Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh,’  katanya lagi.

“Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru