Sunday, December 5, 2021

Batik Linut produk unik pelancongan di Sarawak

Secara Rawak

MIRI: Tekstil Batik Linut kini menjadi satu lagi produk unik yang akan menarik kehadiran pelancong datang ke Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, produk tersebut yang menggunakan tepung rumbia atau linut sebagai bahan pencorak akan membantu dalam industri pelancongan di negeri ini khususnya Bahagian Miri.

“Industri pelancongan kita sangat berkaitan dengan budaya dan latar belakang Bumiputera kita.

“Ini menjadi salah satu tarikan yang kita ada di Sarawak untuk para pelancong datang ke negeri kita,” katanya dalam Majlis Pelancaran ‘Batik Linut Textiles’ di Miri pada Rabu.

Abang Johari juga berkata, selain daripada tekstil batik linut ini, sagu juga boleh dimanfaatkan dengan menghasilkan produk yang lain.

“Banyak yang boleh dihasilkan daripada sagu ini. Saya berpeluang untuk bertanyakan kepada pakar untuk melihat kepada produk lain yang boleh dihasilkan daripada sagu ini. Salah satunya adalah biomas dan air bersih daripada biomas,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri telah merasmikan Kompleks Baharu Sekolah Sri Mawar yang turut diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dato’ Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru