Sunday, December 5, 2021

Bantuan kepada penggiat seni di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Program Budi Kita Sarawakku Sayang 2021 anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan Majlis Seni Sarawak, Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TV Sarawak (TVS) bertujuan berkongsi ilmu dan pemahaman berkenaan nilai-nilai murni, budi bahasa, budaya tinggi dan pembentukan jati diri serta semangat patriotisme di kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol penganjuran program sebegini telah diadakan sejak dari dahulu lagi dengan  memfokuskan kepada penyaluran maklumat berkaitan bantuan serta insentif kepada NGO tempatan.

“Saya sendiri agak terkilan apabila penggiat seni di sini masih lagi menghadapi masalah kewangan untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Saya berharap melalui program hari ini mereka akan didedahkan dengan pelbagai saluran bagi membantu mereka.

“Pada masa akan datang, dua atau tiga tahun ini saya rasa peranan anak-anak seni dan warga seni ini sangat penting dalam konteks kejiwaan masyarakat kita,” katanya semasa berucap dalam Penutupan Sesi Pertemuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sarawak bersama JKKN yang diadakan di Hotel Merdeka Palace Kuching pada Khamis.

Selain itu, simbolik penyerahan bantuan peralatan pencegahan wabak COVID-19 daripada NGO kepada seramai 20 orang penggiat seni telah disempurnakan oleh Abdullah Saidol.

Justeru, beliau berharap dengan usaha gigih semua orang yang sentiasa bersatu hati akan dapat menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan seni yang setaraf dengan negara-negara lain.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru