Sunday, December 5, 2021

Abang Johari: Rakyat Sarawak tidak mahu katak politik

Secara Rawak

MIRI: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya rakyat Sarawak tidak mahu pemimpin yang gemar melompat parti atau dirujuk sebagai ‘ katak’ di kalangan pemerhati politik.

Sehubungan itu katanya, rakyat negeri ini memerlukan kestabilan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan kerajaan sementara ketika ini memiliki ciri – ciri berkenaan dalam memacu negeri ini ke fasa baharu untuk manfaat rakyat.

” Kita perlukan kerajaan negeri yang stabil dan Kerajaan Sarawak ketika ini adalah yang paling stabil, jangan rosakan kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik Vista Perdana Fasa Tiga di sini pada Rabu seperti dipetik TVS.

Projek berkenaan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kerjasama syarikat tempatan Sarawak merangkumi sebanyak 694 unit buah rumah teres satu tingkat dengan keluasan 900 kaki persegi.

Projek fasa satu bermula pada 2006 dan telah siap pada 2010 manakala fasa kedua berjaya disiapkan pada 2018.

Jumlah keseluruhan pembangunan Projek Vista Perdana ini adalah dianggarkan sebanyak 2, 446 unit dengan komposisi saiz rumah bermula dari 750 kaki persegi sehingga 1,276 kaki persegi.

Abang Johari pada masa sama turut menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak membiarkan pisang berbuah dua kali dengan mengambil pengajaran apa yang berlaku selama 22 bulan.

Dalam kalangan rakyat, 22 bulan diingati sebagai jangka hayat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dan beberapa wakil rakyat PKR menarik diri daripada gabungan berkenaan yang seterusnya mencetuskan suasana tidak stabil politik negara.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak kini memiliki kerajaan yang berwawasan dan tidak wajar dirosakkan.

”Saya berterima kasih kepada rakan dalam kabinet yang bekerja sebagai satu pasukan. GPS merupakan gabungan yang stabil dan berjaya mentadbir negeri ini adalah kerana wakil rakyatnya komited untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama tegas beliau, Sarawak turut mahukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru