Sunday, December 5, 2021

Empat parti nyata hasrat cabar GPS di DUN Kabong

Secara Rawak

KABONG: Parti Amanah Negara (AMANAH ) Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti SEDAR adalah antara parti yang akan turun gelanggang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN 12) bagi memberi saingan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 40 Kabong.

Penyandang kerusi DUN Kabong ketika ini iaitu Mohd. Chee Kadir adalah calon GPS yang memenangi kerusi berkenaan pada PRN 11 dan dijangka akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Sarawak Voice (SV) sempat menghubungi wakil parti terlibat sebaik pengumuman tarikh PRN Sarawak dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pililan Raya (SPR) pagi semalam.

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sarawak merangkap Penyelaras Amanah DUN N. 40 Kabong, Hud Andri Zulkarnaen ketika dihubungi mengesahkan Pakatan Harapan (PH) Sarawak telah memutuskan kerusi N.40 Kabong bakal ditandingi oleh Parti Amanah.

Hud turut membayangkan yang kemungkinan besar beliau sendiri akan turun padang membawa cabaran parti berkenaan bagi menentang calon GPS.

Sementara itu seorang lagi calon yang dihubungi, Wan Mohd. Madehi Wan Ali, 65, turut mengesahkan yang beliau akan turun bertanding sebagai calon PSB bagi DUN. 40 Kabong.

Wan Madehi yang berasal dari Kampung Nyabor Kabong merupakan pesara yang kini menjalankan perusahaan sendiri.

” Insya Allah saya akan tetap meneruskan hasrat saya untuk bertanding dalam PRN 12 di Kabong. Semoga semuanya berjalan lancar,” ujarnya ringkas.

Turut menyatakan hasrat betanding di DUN N. 40 Kabong ialah wakil PBK, Asri Kassim,46, seorang anak tempatan yang berasal dari Kampung Sessang.

Menurut Asri beliau telah bersetuju untuk menjadi calon PBK bagi memberi saingan kepada calon GPS.

Manakala untuk Parti SEDAR wakil parti berkenaan yang dihubungi turut mengesahkan akan menghantar calon bagi bertanding di DUN Kabong.

Bagaimanapun wakil SEDAR itu enggan mendedahkan nama calon yang bakal diturunkan oleh parti itu. Namun apa yang pasti katanya calon adalah merupakan anak tempatan Kabong.

Sehubungan dengan itu, jika perkara itu mejadi kenyataan maka DUN N. 40 bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru dalam PRN 12 akan datang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru