Sunday, December 5, 2021

Politik Katak: Soon Koh ingatkan Chieng Jen tidak lupa sejarah bapanya

Secara Rawak

KUCHING: Jangan lupa sejarah ayah anda. Demikian tegas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Ia sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menolak untuk bekerjasama ahli politik ‘katak’ pada PRN Sarawak Ke-12.

Soon Koh dalam kenyataan balasnya berkata, Chieng Jen tidak seharusnya lupa perjalanan politik bapanya Chong Siew Chiang sebelum menyertai DAP.

Soon Koh turut menempelak kenyataan Chieng Jen sebelum ini selain mengingatkan supaya beliau tidak lupa asal usul DAP Sarawak.

“Mungkin beliau (Chieng Jen) perlu mengecam bapanya sendiri yang melompat dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menyertai DAP, sebuah parti dari Semenanjung

“Ini adalah sejarah dan parti tidak mahu membuka kisah lama kerana parti amat menghormati Chong senior,” katanya.

Untuk rekod, Chong Siew Chiang bersama kira-kira 200 ahli SUPP keluar dari parti itu pada 1978 sebelum menubuhkan DAP Sarawak.

Soon Koh dalam kenyataannya mendedahkan Chong Siew Chiang berpegang pada prinsip peribadi bahawa ‘SUPP telah berbeza dan tidak lagi memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina’.

“Ini soal prinsip, dan PSB berpegang kepada tujuan sama yang diperjuangkan beliau di landasan politik yang berbeza tanpa menjejaskan prinsip.

“Begitu juga bagi Baru Bian dan See Chee How, yang sama dengan bapa Chieng Jen dalam hal ini yang mana mereka menyertai PSB dengan pendirian Sarawak mesti didahulukan.

Sebelum ini Chieng Jen dalam satu sidang media berkata DAP Sarawak menegaskan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana calon yang melompat parti dalam PRN12 Sarawak akan datang.

Katanya, ia sebagai garis panduan sebelum kerjasama antara parti pembangkang dipersetujui termasuk mempertimbangkan beberapa faktor dari segi pemilihan calon.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru