Friday, December 3, 2021

SPR tambah baik pelaksanaan PRN Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan penambahbaikan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, kata pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Ia termasuk menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi.

Antara lain, tempoh mengundi dilanjutkan selama 30 minit dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu 8 pagi hingga 5 petang.

Manakala pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1 yang membabitkan 13,871 pengundi berdaftar telah dikenal pasti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu kata Abdul Ghani, syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini turut dimansuhkan.

“Syarat-syarat tersebut adalah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Hotel Hilton Kuching pada Rabu.

Dalam mesyuarat khas tersebut, SPR menetapkan 18 Disember depan sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru