Saturday, December 4, 2021

Kurang simpanan: Ahli KWSP mungkin hidup dalam kemiskinan di usia senja

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyatakan kegusaran mereka mengenai risiko majoriti ahlinya berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 telah memburukkan keadaan menyebabkan jumlah simpanan yang tidak mencukupi.

Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir berkata perkara ini bukan hanya akan memudaratkan kehidupan individu sahaja, tetapi juga terhadap landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga akan mencabar.

Beliau berkata pada masa ini 48% ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.

Menurutnya, ini merupakan peningkatan 28% ahli KWSP yang mempunyai simpanan yang amat kritikal berbanding sebelum pandemik.

“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia pada 75 tahun, dan menjangkakan ahli KWSP mula mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun, simpanan yang ada perlu mencukupi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Dalam perkara ini, dengan simpanan median kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun berjumlah RM13,000, bermaksud RM54 sebulan untuk tempoh persaraan mereka,” katanya pada ucapan pembukaan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang berlangsung secara maya dan fizikal semalam seperti dipetik Bernama.

Ahmad Badri berkata simpanan median ahli KWSP pada usia 54 tahun pada RM38,000 pula bermaksud RM159 sebulan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang, dan dalam usaha ahli untuk mendapatkan semula jumlah kehilangan daripada pengeluaran berkaitan COVId-19, mereka perlu bekerja untuk tempoh tambahan empat ke enam tahun.

Sehingga 31 Okt, sejumlah RM101.1 bilion telah dikeluarkan di bawah i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Ia merupakan 22 peratus daripada program rangsangan kerajaan berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru