Sunday, December 5, 2021

Seludup masuk Pati dihukum penjara dua tahun

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan menyeludup masuk dua orang migran, Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin menjatuhkan hukuman terhadap Libat Lohin@Robert Lihin, 65, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 10 Disember 2020.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa masuk dua orang warga Indonesia menggunakan sebuah kereta di Pangkalan Amo Tebedu, Serian, kira-kira jam 11.00 malam, 10 Disember 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj Selvarajoo manakala tertuduh diwakili Peguam Lim Lian Kee.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru