Saturday, December 4, 2021

PSB persoal motif tindakan Aditajaya

Secara Rawak

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) kesal dengan tindakan bekas calon Kuala Rajang, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi yang menuduh secara terbuka parti itu memaksanya untuk meminjam wang sebagai dana untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Majlis Presiden PSB dalam kenyataannya semalam berkata dakwaan itu menimbulkan tanggapan negatif terhadap parti.

Malah PSB turut mempersoalkan motif sebenar tindakan Aditajaya berhubung perkara itu.

“Ia seolah menunjukkan kami (PSB) membuli beliau (Aditajaya) hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri akan datang,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini surat peletakan jawatan Aditajaya sebagai ahli PSB tular dan disebar luas di media sosial.

Justeru, PSB tampil dengan kenyataan balas bagi menyatakan pendiriannya.

“PSB mengekalkan pendirian bahawa kami menghormati hak sesiapa sahaja untuk menyertai atau meninggalkan PSB secara bebas. Parti lebih besar daripada mana-mana individu.

“Kami hanya mengeluarkan kenyataan ini untuk menjelaskan pendirian kami memandangkan Aditajaya dan orang yang berkaitan dengannya telah memilih untuk mengedarkan peletakan jawatan mereka melalui akhbar dan media sosial,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PSB tidak pernah dan tidak akan sesekali memaksa ahli-ahli untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip asas parti.

PSB menerusi kenyataan itu juga sentiasa menghargai dan menjunjung kebebasan setiap individu untuk memilih termasuk kebebasan untuk mengambil bahagian secara bebas atau meninggalkan parti.

“Apabila Aditajaya mengumumkan secara terbuka beliau akan menyertai PSB pada 27 November 2020 dan berikrar menyokong penuh PSB selepas meninggalkan PKR, itu adalah pilihan beliau sendiri.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Aditajaya tidak pernah menjadi ahli Majlis Presiden PSB, dan beliau menyedari sepenuhnya perkara ini sejak hari pertama beliau menyertai PSB, beliau hanya dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Presiden,” kata kenyataan itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru