Saturday, December 4, 2021

PRN Melaka petunjuk baik untuk GPS

Secara Rawak

KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 menjadi petunjuk bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mendapat kemenangan di hati rakyat.

Penyandang kerusi Dun Batu Kitang, Lo Khere Chiang, menyifatkan kemenangan yang berpihak kepada BN itu sebagai satu gambaran baik untuk GPS di Sarawak.

“Penduduk Melaka iaitu salah satu negeri di Semenanjung telah pun membuat keputusan.

“Berdasarkan keputusan undi yang ditentukan oleh penduduk di Melaka itu, saya berasakan bahawa perkara yang sama juga akan terjadi di Sarawak. “Saya yakin bahawa penduduk atau rakyat di Sarawak akan terus menyokong GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas kemenangan PRN Melaka selepas menyempurnakan Program Komuniti Kampung Haji Baki di Sugarboom cawangan Kampung Haji Baki Kuching, di sini, pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus memilih GPS sebagai kerajaan agar mereka dapat terus membantu dan menyalurkan dana kepada penduduk setempat yang memerlukan kemudahan yang disediakan oleh GPS.

Terdahulu, mandat Kerajaan Melaka kembali diterajui BN setelah memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Manakala PH hanya menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru