Sunday, December 5, 2021

PRN 12 Sarawak: Kerusi DUN Majoriti Iban

Secara Rawak

PRN 12 Sarawak kini hangat dibahaskan dalam kalangan rakyat Sarawak. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah terbubar secara sendiri pada 6 Jun 2021 lepas sepatutnya telah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Namun begitu, kerana pandemik Covid – 19 sedang melanda dan negara dalam tempoh darurat maka pilihan raya negeri Sarawak ke – 12 tidak dapat dilaksanakan. Setelah tempoh darurat tamat pada Ogos, kerajaan telah mengistiharkan darurat setempat bagi Sarawak bagi menghalang pelaksanaan pilihan raya di Sarawak.

Namun begitu, setelah keadaan pandemik dapat dikawal dan majoriti penduduk di Sarawak telah mendapat suntikan vaksin, darurat telah ditarik balik pada 3 November. Rentetan daripada ini, pilihan raya negeri Sarawak ke – 12 perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 27 November ini bagi menentukan tarikh PRN 12 Sarawak.

Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan dalam PRN12 nanti. Kerusi majoriti kaum Iban lebih kurang 22 kerusi. Kesemua kerusi ini terletak di kawasan luar bandar atau pinggir bandar. Secara tradisi, kesemua kerusi ini merupakan “fixed deposit” kepada parti pemerintah. Persoalannya, adakah kesemua kerusi majoriti kaum Iban ini akan terus menjadi “fixed deposit” kepada parti pemerintah pada PRN 12 ini nanti? Sama-sama kita renungkan.

Penulisan ini adalah secara ringkas berkaitan dengan latar belakang kerusi DUN majoriti Iban dalam DUN Sarawak. Fokus diberikan kepada keputusan PRN 11 Sarawak pada tahun 2016 lepas. Kerusi DUN majoriti Iban ini dikategorikan apabila jumlah pengundi berdaftar di sesebuah DUN mempunyai 50% ke atas adalah kaum Iban.

Senarai kerusi DUN majoriti Iban adalah seperti berikut:

N.30 Balai Ringin

N.31 Bukit Begunan

N.32 Simanggang

N.33 Engkelili

N.34 Batang Ai

N.36 Layar

N.37 Bukit Saban

N.39 Krian

N.47 Pakan

N.48 Meluan

N.49 Ngemah

N.50 Machan

N.59 Tamin

N.60 Kakus

N.61 Pelagus

N.62 Katibas

N.63 Bukit Goram

N.64 Balleh

N.69 Kemena

N.70 Samalaju

N.76 Marudi

N.80 Batu Danau

Seperti sedia maklum, kesemua kerusi DUN ini terletak di kawasan luar bandar. Sebanyak 20 daripada semua kerusi ini diwakili oleh parti yang menjadi kerajaan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS). Hanya dua kerusi yang diwakili oleh parti lain iaitu DUN N.33 Engkelili oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DUN N.39 Krian oleh Bersatu (PPBM).

Bagi DUN N.33 Engkelili yang disandang oleh Dr Johnical Rayong yang menang atas tiket BN-UPP pada masa itu telah bersama dengan PSB pada masa kini. Bagi DUN N.39 Krian pula, Ali Biju yang memenangi kerusi tersebut atas tiker PKR kini telah menyertai PPBM.

Berdasarkan keputusan PRN 11 Sarawak pada tahun 2016, majoriti penyandang kerusi memenang pilihan raya dengan majoriti undi lebih daripada 1000 undi. Hanya 3 kerusi DUN yang dimenangi bawah 1000 majoriti undi iaitu DUN N.47 Pakan, DUN N.48 Meluan dan DUN N.49 Ngemah.

DUN N.47 Pakan yang diwakili oleh William Mawan yang pada masa itu Presiden SPDP hanya mampu meraih majoriti undi sebanyak 426 undi. Bagi DUN N.48 Meluan yang turut diwakili oleh wakil dari SPDP pada masa itu iaitu Roland Duat yang mampu meraih majoriti undi sebanyak 678 undi. Bagi kerusi DUN N.49 Ngemah yang diwakili oleh Alexander Vincent dari PRS hanya mampu meraih majoriti undi sebanyak 154 undi.

Justeru, bagi PRN 12 Sarawak yang bakal berlangsung, kerusi DUN majoriti Iban ini amat menarik untuk diperhatikan setelah mengambilkira keputusan PRU 14 yang lepas serta situasi politik terkini dalam negara. Persoalan adalah, adakah keputusan dalam PRU 14 lepas dan situasi politik terkini memberi impak kepada keputusan PRN 12 Sarawak nanti? Sama-sama kita renungkan persoalan ini.

Teoritikal, calon-calon yang mempunyai majoriti undi yang tidak memerangsangkan sudah pasti bakal ditukar bagi memberi laluan kepada muka baharu dalam parti. Adakah para penyandang kerusi yang sedia ada akan terus mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini atau akan ada muka baharu diketengahkan oleh parti?

Sama-sama kita nantikan dalam masa terdekat setelah pihak SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi PRN 12 Sarawak. Pihak parti yang bertanding sudah pasti akan mengumumkan calon-calon parti masing-masing nanti sebelum hari penamaan calon.

Kemenangan yang besar dalam PRN 12 adalah amat penting bagi parti-parti politik yang bertanding agar dapat membentuk kestabilan politik yang padu. Oleh itu, bagi kerusi majoriti Iban ini, ia amat signifikan untuk dimenangi oleh mana-mana parti politik semasa PRN 12 nanti bagi mengukuhkan majoriti kerusi di menangi yang akhirnya dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Persoalaanya, adakah pengundi kaum Iban ini masih dikira sebagai “fixed deposit” kepada parti pemerintah? Atau adakah perubahan telah berlaku dalam kalangan pengundi majoriti kaum Iban ini? Sama-sama kita rungkai perkara ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru