Saturday, December 4, 2021

PRN Sarawak: Tarikh penting dan SOP jadi tumpuan

Secara Rawak

KUCHING: Menjelang mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini beberapa perkara penting akan menjadi tumpuan bukan sahaja parti politik tetapi rakyat.

Mesyuarat itu akan diketuai Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang dijadualkan bermula pada jam 9 pagi di Hotel Hilton Kuching.

Malah beliau dijangka akan mengadakan sidang media khas sejurus tamat mesyuarat berkenaan.

Apakah hasil yang boleh dijangkakan dalam mesyuarat tersebut? Sudah tentu mengenai tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Ia termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh kempen dan pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.

Antara lain yang akan menjadi fokus utama, prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan sepanjang tempoh berkenaan.

Maklum bahawa, SOP pada PRN Melaka, SPR telah menetapkan garis panduan utama iaitu tiada kempen secara fizikal atau konvensional boleh diadakan.

Ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 sekiranya perhimpunan awam diadakan dengan skala besar.

Malah perkara itu turut diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan awam berkaitan politik.

Mengambil kira pelaksanaan SOP di Melaka, sejauhmana ia berkesan? Dan jika ia dilaksanakan di Sarawak, bagaimana pula?

Dari segi saiz, keadaan geografi antara Melaka dan Sarawak sememangnya jauh berbeza seperti langit dengan bumi.

Justeru, SPR wajar menilai sebarang kemungkinan dari pelbagai aspek dan sudut berhubung penggunaan SOP sama di Sarawak atau melakukan perubahan mengikut kesesuaian di negeri ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dab Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Dewan Rakyat menjelaskan bahawa SPR akan mengumumkan SOP tersebut.

Malah SOP PRN Sarawak katanya akan turut mengambil kira maklum balas keberkesanan SOP di PRN Melaka, Sabtu lepas.

“Ia termasuk SOP pencegahan COVID-19 dengan kerjasana Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri.

Malah dari segi persediaan di negeri Sarawak katanya jauh lebih teratur berbanding apa yang dilaksanakan di Melaka.

Melihat kepada perkara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyuarakan pendapat sama termasuk mencadangkan agar sedikit kelonggaran boleh dipertimbangkan untuk proses kempen di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses internet.

“Kalau kita melihat faktor geografi, Sarawak luas dan Melaka kecil…tambahan pula kita di Sarawak masih berdepan kekangan akses internet.

“Jika kita ikut SOP Melaka, kempen secara digital..ia mungkin menimbulkan masalah di kawasan yang tiada liputan internet.

“Jadi SPR mungkin boleh melonggarkan sedikit syarat atau SOP bagi memudahkan pergerakan di kawasan yang tiada internet khususnya pedalaman,” katanya.

PRN Sarawak kali ini bakal menyaksikan keunikan tersendiri, ia akan diadakan dalam suasana norma baharu pasca COVID-19.

Sudah tentu tahap keselamatan menjadi tunjang utama pelaksanaannya, selain meletakkan perihal kesihatan awam pada tahap yang tinggi.

Untuk rekod, kes COVID-19 di Sarawak setakat semalam mencatatkan 147 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 249, 483 kes.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru