Saturday, December 4, 2021

Penyandang DUN Tellian  digugurkan?

Secara Rawak

MUKAH: Ketika teka-teki sama ada penyandang kerusi DUN Tellian  Yussibnosh Balo akan mempertahankan kerusi itu atau diminta untuk berundur, pelbagai usaha dilakukan untuk terus melobi kerusi itu dalam kalangan beberapa individu yang berminat.

Ini termasuk gambar tular yang menamakan seorang calon dengan gambarnya sekali. Tidak pasti siapa yang melakukannya sama ada individu itu sendiri atau para penyokongnya.

Manakala bagi penyandang pula, difahamkan ada usaha untuk melobi agar terus diberi peluang mempertahankan kerusi itu.

Ada gambar yang tular, difahamkan dilakukan oleh penghuni di sebuah rumah panjang yang memaparkan kain rentang, “ Kami masih mempertahankan Encik Yussibnosh Bin Balo menjadi wakil rakyat kami  dalam kawasan N57 Tellian.”

“Kami tidak akan menerima calon baharu untuk menjadi wakil rakyat kami.”

Gambar acara ini juga tular dan menjadi bualan penduduk di sini.

Bagi pemerhati politik Sarawak, strategi politik seperti ini adalah basi dan telah diamalkan sejak tahun 1970-an lagi.

Bukan menghairankan dalang di sebalik kain rentang ialah segelintir penyokong penyandang sendiri yang mungkin diarahkan  untuk berbuat demikian.

Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Persoalannya, adakah penyandang Yussibnosh Balo akan mempertahankan kerusinya?

Atau beliau akan digugurkan atau memberi laluan kepada calon muka baharu?

Bagi pengamat politik akar umbi di sini, jawapannya masih lagi kabur.

Segalanya kini di tangan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Di tengah-tengah pelbagai spekulasi yang semakin memuncak itu, yang pasti kerusi itu dijangka bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Menurut pemerhati politik akar umbi, PKR, PSB, Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan sekurang-kurangnya seorang calon Bebas, selain GPS akan bertempur di kerusi berkenaan.

Pelbagai nama disebut-sebut oleh penduduk di sni termasuk di kedai kopi.

Antaranya, bekas pegawai kerajaan, ahli perniagaan, pegawai kerajaan,  termasuk wanita.

Dalam PRN-11, Yussibnosh menewaskan calon PKR, Asini Yahya dengan majoriti 4,421 undi.

Beliau meraih 5,087 undi manakala lawan politiknya mendapat hanya 666 undi.

DUN Tellian ialah kawasan majoriti Melanau yang untuk sekian lama menjadi kubu kuat BN sejak 1970-an lagi.

Kerusi ini tidak pernah tewas ke tangan pembangkang dalam 11 PRN lalu.

Ketika ini  berdasarkan sentimen akar umbi, ada gesaan agar penyandang digugurkan dan digantikan dengan calon muka baharu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru