Sunday, December 5, 2021

Muka baharu dalam PRN Sarawak

Secara Rawak

PADA petang Khamis lalu, Ketua Menteri telah bersemuka dengan media, menjawab pelbagai soalan berkaitan PRN-12 Sarawak yang dijangka diadakan pada 18 Disember ini.

Sebagai pemimpin berpengalaman selama 40 tahun sejak menjadi Adun Satok pada 1981, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang baru dianugerahi pingat kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri, telah menjawab soalan media dengan terus terang.

Ini termasuk persoalan tentang calon muka baharu dan calon muda.

Beliau kelihatan bertenaga meskipun jadualnya padat sepanjang hari.

Sehari sebelumnya, beliau berada di Gedong melancarkan beberapa projek dan menyampaikan bantuan termasuk kepada pelajar sekolah yang kurang bernasib baik.

Menurut Pengerusi GPS itu, pemimpin pelapis sememangnya diperlukan bukan untuk PBB semata-mata, tetapi parti komponen dalam GPS yang juga terdiri daripada PRS, SUPP dan PDP.

Malah beliau turut membayangkan bahawa dirinya akan bersara satu hari nanti dan kepimpinan parti akan disambung oleh generasi muda.

“Sekarang pun saya dah berumur, satu hari nanti saya akan bersara dalam PBB atau GPS kita mesti ada pemimpin pelapis.

“Ya memang sekarang kita (GPS) sudah ada pemimpin muda… ini merupakan tempoh percubaan mereka sama ada bertahan atau tidak untuk memimpin kelak,” tegasnya.

Abang Johari menyatakan, harus ada pelapis dalam kepemimpinan parti bagi meneruskan perjuangan.

Untuk itu, pemimpin berpengalaman perlu berusaha untuk membimbing dan melatih mereka sebagaimana pemimpin terdahulu melatih dan membimbing mereka.

Setiap kali PRN Sarawak diadakan akan ada penyandang yang digugurkan atau diminta memberi laluan kepada muka baharu.

Ini ialah proses biasa dalam mana-mana parti politik di seluruh dunia.

Memang amalan ini sudah menjadi kebiasaan atau tradisi dalam parti, baik di pihak parti GPS mahupun parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

Hanya dengan adanya muka baharu, termasuk calon muda barulah sesebuah parti politik dapat melakukan peremajaan. Kalau tidak parti berkenaan akan menjadi jumud, malah tua sama dengan usia pemimpinnya.

Sebagai akibatnya, parti itu tidak lagi menjadi relevan dengan perubahan zaman dan generasi yang berlaku.

Persoalannya, berapa orangkah calon muka baharu, termasuk calon muda ditampilkan dalam PRN-12 nanti?

Adakah lebih daripada 20 orang?

Lazimnya, jumlah muka baharu adalah dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus setiap kali PRN diadakan.

Dalam PRN-11, terdapat 229 calon yang merebut 82 kerusi, termasuk 36 calon Bebas.

Sebahagian ialah muka baharu yang dipertaruhkan oleh parti.

Memang, sebahagian besar kecundang dan tidak dapat memenuhi impian menjadi YB.

Ada yang menanggung beban hutang sampai bertahun-tahun.

Sebelum muka baharu, termasuk calon muda dapat ditampilkan, penyandang perlu bersedia untuk memberi laluan atau mengundurkan diri.

Bukan tidak ada penyandang kerusi terbabit enggan berundur dengan alasan lemah bahawa belum terdapat pengganti yang sesuai untuk mengisi tempatnya.

Ya, seolah-olah, dia sahaja pemimpin yang hebat dan tidak ada calon yang dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.

Ini sebenarnya hanya alasan yang lemah sekali gus menggambarkan kegagalan pemimpin itu melatih pemimpin muda.

Ini hanya menggambarkan pemimpin itu mementingkan diri, tanpa mempedulikan sangat kesannya terhadap parti.

Mungkin ini juga satu strategi bagi memastikan penyandang berkenaan terus dapat bergayut di kerusi berkenaan.

Masalahnya ialah, penyandang tersebut kadangkala sudah terlalu lama di kerusi berkenaan.

Sepatutnya, dia sudah berjaya membentuk barisan pelapis untuk memastikan parti terus mempunyai pemimpin baharu dan segar. Tindakan segelintir pemimpin terbabit hanya meyusahkan ketua parti.

Sepatutnya, pemimpin yang sudah tidak lagi bermaya, malah tidak begitu bertenaga, perlu mengundurkan diri secara sukarela.

Berilah kesempatan kepada pemimpin lain sebagaimana pemimpin terdahulu memberi peluang kepadanya untuk dicalonkan di kerusi itu.

Ironinya, kebanyakan penyandang keberatan untuk berundur.

Seolah-olah kerusi itu ialah miliknya.

Tidak payahlah tunggu ‘boss’ atau presiden parti untuk membisik ke telinganya.

Pemimpin yang berjiwa besar harus sedar bila dia harus berundur, dan bukan menunggu orang lain untuk memberitahunya atau menolaknya ke tepi.

Tetapi ini hanya impian sedangkan realitinya, sukar untuk mencari pemimpin yang mahu melepaskan jawatan dan segala nikmat yang datang bersama-samanya kerusi itu.

Ya, jangan sampai majoriti undi yang dimenangi terus merosot.

Atau lebih teruk lagi tewas dalam pilihan raya gara-gara kedegilan dan keengganan berundur.

Akibatnya, parti yang menerima padah.

Pemimpin seperti itu perlu bertanya diri atau mengintrospeksi diri secara jujur.

Adakah aku masih lagi dapat memberi sumbangan yang bererti kepada pengundi dan penduduk di kawasan dan kepada Sarawak?

Atau aku hanya menjadi beban kepada parti, ketua dan rakyat?

Jika pemimpin itu berjiwa besar dan punya harga diri, dia sepatutnya tahu tindakan yang harus diambil jika jawapannya negatif.

Kalau pemimpin berkenaan sedar diri dan ada sedikit maruah, tentu dia tidak perlu diberitahu.

Ironinya, pemimpin itu ketika hendak diberi tempat pada awal kerjaya politiknya, mahu penyandang kerusi berkenaan memberi laluan.

Dia resah gelisah dan tidak sabar melihat penyandang berundur sehingga tidak hairan ada yang melakukan sabotaj bagi melemahkan kepemimpinan dan menjatuhkan pemimpin berkenaan.

Memang setiap kali menjelang PRN, pengundi dan rakyat berteka-teki siapakah yang digugurkan, dan siapakah pula menggantikan tempat yang dikosongkan itu?

Untuk mendepani perubahan landskap yang sudah berubah, parti harus berani menggantikan penyandang dengan muka baharu.

Ya, kali ini siapakah akan berduka dan siapakah pula yang akan riang gembira?

Yang pasti, akan ada episod duka setiap kali menjelang hari penamaan calon dan pada malam pengumuman keputusan pilihan raya.

Sama juga akan ada yang gembira dan senyum memanjang.

Ini ialah adat resam dan permainan politik yang harus diterima dengan tabah.

Yang pasti, pemimpin datang dan pergi, dan bagi rakyat yang penting, ialah perubahan dan kemajuan yang bakal dibawa pemimpin baharu.

Dr Jeniri Amir

• Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara dan Profesor Adjung Unimas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru