Sunday, July 3, 2022

3 individu disaman dalam operasi cegah jenayah di Kota Samarahan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Seramai tiga individu ditahan sementara sebanyak 64 keping saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan sepanjang Op Bersepadu Cegah Jenayah dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

Operasi dijalankan pada 19 November dan 20 November, bermula jam 10 malam sehingga jam 3 pagi melibatkan lima pegawai kanan dan 25 anggota daripada pelbagai cawangan selain anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kota Samarahan

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, seramai dua orang telah ditangkap dalam serbuan oleh pasukan operasi atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, pasukan operasi telah merampas wang tunai RM137 dan satu unit telefon bimbit yang merupakan peralatan untuk menjalankan aktiviti judi.

“Sementara, serbuan kedua telah berjaya menangkap seorang lelaki yang didapati menjalankan aktiviti penyalahgunaan dadah dan tangkapan dibuat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil operasi yang diadakan selama dua hari, sebanyak 247 buah kenderaan dan seramai 338 orang telah diperiksa.

Jelasnya, operasi dijalankan menggunakan konsep Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan laluan masuk Kota Samarahan.

Beliau berkata, satu pasukan Rondaan Berkereta juga ditubuhkan merangkumi tujuh pasukan yang menggunakan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan menjalankan pemeriksaan mengejut di laluan masuk ke taman perumahan, kampung dan rumah kedai.

Tambahnya, pasukan serbuan dan pemeriksaan juga telah dibentuk dalam operasi untuk memantau dan menjalankan risikan ke atas aktiviti judi, gangsterism serta aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Pendekatan berterusan seumpama ini akan diteruskan secara berkala dalam mencegah jenayah terutamanya di kawasan yang telah dianalisa sebagai kawasan ‘panas jenayah’ dalam Daerah Kota Samarahan.

“Kes pecah rumah dan curi, curi kenderaan, judi, aktiviti penyalahgunaan dadah selain aktiviti gangsterisme dan lumba haram akan dibanteras sehingga ke akar umbi,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, IPD Kota Samarahan menyeru agar semua lapisan komuniti tampil dan menyalurkan maklumat jenayah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru