Sunday, June 26, 2022

Tunggu pengumuman SPR

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian untuk dilaksanakan di Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kelak.

Mengambil situasi semasa serta keadaan geografi di negeri ini, kekangan akses internet juga perlu diberi keutamaan dan pertimbangan sekiranya tiada kempen secara konvensional dibenarkan.

“Kempen pilihan raya dalam suasana COVID-19 sudah tentu memberi cabaran besar, namun sekarang SPR belum mengeluarkan SOP untuk PRN Sarawak.

“Memang ada beberapa cadangan yang telah dibuat oleh mereka (SPR) tetapi keputusan akhir terletak pada mereka sama ada akan melaksanakannya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Apa pun kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, tunggu keputusan SPR dalam menetapkan SOP yang akan digunakan pada PRN Sarawak.

Mengulas mengenai penggunaan platform media sosial sebagai medium kempen pilihan raya, Abang Johari berkata ia akan memainkan peranan utama khususnya di kawasan yang mempunyai akses internet.

Namun di kawasan yang akses terutama di pedalaman katanya pasti akan berdepan masalah.

“Sebab itu ia bergantung kepada SOP SPR kelak sama ada mereka boleh membenarkan calon atau jentera parti mahupun ejen pilihan raya untuk bergerak ke kawasan kampung dan rumah panjang yang tidak mempunyai akses internet,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu pengumuman daripada SPR berhubung SOP pilihan raya yang akan diguna pakai kelak.

Perkara itu mungkin akan dimaklumkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas pilihan raya pada 24 November ini bagi membincangkan penting PRN Sarawak yang akan diketuai Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Mesyuara itu akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan bagi melaksanakan pilihan raya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru