Friday, December 3, 2021

Selepas ditebang, ia akan tumbuh semula, itulah RT-Paulownia

Secara Rawak

KUCHING: Tanaman pokok RT-Paulownia yang dibangunkan oleh TSG Green Sdn Bhd diyakini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan Sarawak pada masa depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia kerana pokok itu sangat sesuai ditanam di negeri ini, sekaligus mencapai dasar kerajaan negeri dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan selaras dengan dasar perhutanan Sarawak iaitu untuk menanam semula pokok.

“Pokok ini boleh ditebang dalam usianya mencapai empat hingga lima tahun dan selepas ditebang, ia akan tumbuh semula.

“Ini serupa dengan apa yang saya lihat di Norway dan Finland apabila mereka tanam pokok Pain sehingga mempunyai industri berasaskan kayu kayan dengan bahan mentah datang dari hutan yang ditanam semula.

“Jadi saya juga mempunyai dasar yang serupa iaitu hutan kita yang ditebang perlu ditanam semula dan satu-satunya pokok yang paling sesuai dan cepat tumbuh ialah Paulownia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan makmal tanaman RT-Paulownia yang pertama di Sarawak, yang dibangunkan oleh TSG Green Sdn Bhd di Titanium Tower, Brighton Square di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad dan pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TSG Green’s Datuk Chris Chung.

Abang Johari menambah selain kayu, daun pokok Paulownia juga memberi manfaat kepada kehidupan manusia apabila boleh menyerap banyak karbon dioksida.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru