Sunday, June 26, 2022

PRN Sarawak: Usah takut keluar mengundi

Secara Rawak

KUCHING: Usah takut turun mengundi, proses pilihan raya diadakan dengan prosedur operasi standard yang ketat.

Demikian kata Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hubungan Kerajaan Negeri- Persekutuan, Undang-undang dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Jelasnya walaupun Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak akan diadakan dalam suasana negara masih berdepan COVID-19, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan dengan teliti dan selamat.

“Jangan takut turun mengundi, ini kerana pengundian akan dibuat mengikut SOP yang ketat.

“Di tempat mengundi akan ada penguatkuasaan SOP seperti wajib menggunakan pelitup muka, penjarakan sosial, jadi jangan susah hati apabila turun mengundi kelak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bakul Makanan PEKEMA Peduli di Dewan Cenderawasih Semariang di sini.

Penyandang kerusi DUN Semariang itu berkata rakyat perlu menunaikan tanggungjawab untuk mengundi bagi memberikan mandat baharu kepada kerajaan.

Ditanya mengenai kesan kepada peratus keluar mengundi disebabkan penularan COVID-19, Hasidah berkata perkara itu memang akan memberi kesan.

“Seperti yang saya katakan tadi, penularan penyakit (COVID-19) telah berjaya dikawal, malah program vaksinasi juga telah dilaksanakan.

“Ia sedikit sebanyak mengurangkan risiko, dengan amalan SOP yang ketat rakyat tidak perlu risau untuk mengundi kelak,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kawasan Semariang akan terus menjadi kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Rakyat menilai perkara ini, kita tidak hanya turun semasa pilihan raya.. kita menjalankan tugas dari hari pertama lagi.

“Sebarang pembangunan, transformasi yang dilaksanakan bukan bermusim tetapi setiap masa,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru