Sunday, December 5, 2021

PRN-12 rancak meski tiada kempen bersemuka

Secara Rawak

Saat proklamasi darurat negeri Sarawak ditarik balik  pada  3 November 2021 maka secara automatiknya DUN negeri Sarawak terbubar.

Pada masa yang sama  viral di laman-laman media sosial berkenaan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri dan jangkaan Pilihan Raya Umum Negeri Ke 12 menjadi topik utama media dan orang ramai.

Banyak spekulasi dibuat oleh penganalisis politik yang bertauliah dan tidak bertauliah tentang tarikh pilihan raya tersebut.

Mungkin sebahagian daripada jangkaan itu  tepat berdasarkan faktor dan sebab kenapa pilihan raya tersebut perlu diadakan pada tarikh tersebut.

Pilihan raya kali ini pasti meriah kerana banyak parti akan bertanding, ramai muka baru muncul  dan dijangka setiap kerusi akan ditandingi lebih daripada empat penjuru.

Antara parti yang akan bertanding nanti ialah Gabungan Parti Sarawak (PBB, SUPP, PDP dan PRS), Pakatan Harapan (PKR, DAP dan Amanah),  GASAK (PBDSB, ASPIRASI, SWP dan SIA), Parti Bersatu Sarawak (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), SEDAR, BADAS, KITA, Barisan Nasional  (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kemungkinan parti BADAS, KITA, BN dan PN (PPBM) tidak bertanding kerana setakat ini belum ada pengumuman dibuat oleh penyandang dan ketua parti.

BADAS mungkin bertanding atas tiket bebas kerana setakat ini status permohonan dengan Pertubuhan Pendaftar Malaysia (RoS) belum di ketahui lagi.

Begitu juga dengan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), parti yang berpusat di Petaling Jaya Selangor setakat ini belum juga mengumumkan penyertaan dalam PRN12 nanti.

Kemungkinan BN dan PN tidak bertanding kerana di Sarawak hanya dua sahaja calon PN iaitu Datuk Ali Biju, Ahli Parlimen  P205 Saratok serta mantan ADUN N39 Krian dan Datuk Willie Mogin Ahli Parlimen P198 Puncak Borneo.

GPS adalah gandingan parti-parti pemerintah sedia yang sebelum ini menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) tetapi kini menggunakan lambang sendiri untuk bertanding.

Parti GPS tidak lagi terikat arahan dan perjanjian dengan parti induk Barisan Nasional tetapi kini yelah bergerak sendiri dengan kaptennya Ketua Menteri Sarawak.

Buat julung kalinya juga GPS menggunakan lambang sendiri, dipimpin oleh anak jati Sarawak dan pilihan raya ini juga menguji sejauh mana rakyat menyokong atau menolak kepimpinan  pemimpin Sarawak.

Dalam suasana politik peringkat pusat yang tegang, saling bertukar pemimpin dan diwarnai oleh pelbagai isu sudah tentu memberi kesan terhadap sokongan parti pemerintah.

Oleh kerana pergolakkan politik pusat yang sentiasa dinamik serta hubungan GPS dengan Perikatan Nasional,  parti pembangkang sama ada yang berpusat di Semenanjung Malaysia atau Sarawak mencuba nasib masing-masing pada PRN12 ini.

Partiparti pembangkang menganggap kekuatan GPS tidak lagi seperti dahulu kerana sekarang ia bergerak secara sendirian tanpa campur tangan pusat  dan kesan kekalahan BN pada PRU14 juga menjadi  motivasi untuk mereka bertarung di arena politik negeri.

Kekalahan BN pusat  pada PRU14 dilihat pembangkang sebagai peluang untuk menawan Sarawak daripada GPS.

Selain daripada jumlah parti bertanding, penyenaraian muka-muka baru, gandingan tua – muda, tema dan manifesto kini pendekatan kempen-kempen parti tidak lagi seperti dahulu.

Kempen-kempen parti pada era endemik ini nanti kebanyakan nanti menggunakan media baru, pembesar suara untuk hebahan setempat (info on wheels) dan mengedar risalah, poster serta buku kecil dengan meletakkan di pagar atau pintu rumah.

Tiada lagi kempen yang mengumpul penyokong beramai-ramai di sesuatu lokasi atau kawasan.

Pilihan raya kali ini dianggap unik dan dramatik kerana buat pertama kalinya  kesemua parti bertanding merasai kempen dalam norma baharu.

Adalah dijangka banyak kerusi akan dipertandingkan lebih daripada  empat penjuru maka ramai juga antara calon-calon  yang akan hilang deposit.

Pepecahan dalam kalangan parti pembangkang juga memberi kelebihan kepada GPS kerana banyak isu setempat dan isu negeri berjaya diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin negeri.

Terdapat juga parti yang masih menyenaraikan golongan veteran untuk bertanding kerana percaya golongan ‘senior’ ini masih dipercayai dan dihormati oleh golongan masyarakat.

Mereka juga percaya bahawa  pengundi 18 tahun belum lagi dimasukkan sebagai pengundi pada PRN12 dan kesempatan digunakan untuk mengekalkan dan menyenaraikan calon-calon veteran.

Perang bendera dan poster tetap rancak meskipun tiada kempen bersemuka diadakan kerana benda-benda tersebut boleh mempengaruhi minda pengundi berdasarkan jumlah bendera didirikan di sesuatu lokasi.

Bagi parti-parti yang telah bersedia, jentera kempen telahpun dikerahkan bergerak di lapangan sejak tahun lepas lagi manakala bagi parti-parti baru, mereka sedang bergelut mencari calon sesuai serta dana.

Daripada maklumat awal parti-parti pembangkang yang akan bertanding di kesemua kerusi adalah Parti Sarawak Bersatu, Parti Bumi Kenyalang SEDAR dan GASAK namun mereka belum memuktamadkan senarai calon.

Ada juga dalam kalangan calon-calon dalam barisan pembangkang sudah menunjukkan perpecahan kerana tidak puas hati dengan pemilihan dan penempatan calon serta pemberian dana yang tidak adil.

Pasti Pilihan Raya Negeri Ke 12 ini dianggap ujian penting kepada Parti  Gabungan Sarawak kerana ia kini bergerak tanpa dikongkong oleh parti induk dari semenanjung,  penyertaan parti-parti baru, muka-muka baharu yang beradu nasib di gelanggang yang penuh dramatik nanti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru