Sunday, July 3, 2022

Bekas pensyarah undur diri sebagai calon PSB

Secara Rawak

PUSA: Dr Abang Ahmad Ridzuan Abang Awit menarik diri sebagai calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Dun Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

Perkara tersebut disahkan melalui sepucuk surat beliau kepada presiden parti, Datuk Seri Wong Soon Koh bertarikh 9 November lalu.

Menurutnya, penarikan diri sebagai calon berpotensi PSB bagi Dun Beting Maro berkuat kuasa serta-merta.

“Saya tahu saya tidak dapat melakukan seperti yang diharapkan. Saya telah didesak untuk mengemukakan aktiviti parti harian walaupun tidak diperuntukkan sebarang bajet dan tuntutan saya tidak pernah dilayan.

“Selama ini saya berjaya bertahan dengan sokongan keluarga dan telah berkorban terlalu banyak untuk mempromosikan PSB.

“Saya tidak mempunyai wang dan saya tidak dapat menanggungnya lagi,” katanya dalam surat tersebut.

Jelasnya, keputusan untuk berhenti dan menarik diri sebagai calon berpotensi merupakan keputusan sukar setelah tiga tahun bersama-sama PSB.

“Keputusan saya muktamad. Saya tidak akan terlibat dalam mana-mana parti politik lagi.

“Memandangkan saya hanyalah salah seorang daripada bakal calon, saya percaya PSB boleh mencari pengganti dengan mudah pada bila-bila masa untuk calon yang lebih baik dan ‘pasti-menang’ untuk berkhidmat di kawasan Beting Maro,” tambahnya.

“Selamat tinggal,” ucapnya mengakhiri tulisan tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru