GEDONG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi sedikit bayangan dan sekali gus menjawab teka-teki serta khabar angin yang tersebar tentang kemungkinan beliau akan berpindah kerusi.
Antara kerusi yang disebut-sebut akan ditandingi beliau ialah Tanjung Datu, Simunjan dan Gedong.
Sejak 1983, beliau mewakili kerusi DUN Satok.
Dalam PRN-11, Abang Johari menang dengan majoriti besar di Satok, iaitu dengan kelebihan 5,045 undi setelah menewaskan calon PKR, Mohamed Salleh Shawkatali.
Pagi tadi pada Majlis Pecah Tanah Jalan Lubok Teranggas ke Gedong di sini, hari ini beliau menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan tawaran untuk bertanding di kerusi DUN Gedong.
Menurut Pengerusi GPS itu, beliau berterima kasih kepada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Naroden Majais ata kesediaan belia memberi tawaran kepadanya bertanding di Gedong pada PRN-12.
“Sebagai ketua menteri saya melihat semua kawasan sama ada Gedong, Simunjan atau Satok,” katanya.
“Ditolak susah, diterima susah. Saya akan mempertimbangkannya,” katanya.
Naroden dalam ucapannya menawarkan kepada Abang Johari untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Pada 2001, Tun Abdul Taib Mahmud berpindah dari Asajaya ke Balingian susulan tindakan Datuk Abdul Ajis Majid yang memberi tawaran kepada beliau bertanding di kerusi berkenaan.
Ajis mewakili kerusi Balingian mulai 1987 susulan krisis politik Ming Court.
Kalau Abang Johari berpindah ke Gedong, persoalan utama sekarang ialah siapakah calon pengganti beliau di Satok?.