Sunday, June 26, 2022

Mahu jadi calon PRN Sarawak

Secara Rawak

Pasti banyak penyandang dan calon berpotensi kini tidak nyenyak tidur, resah dan gelisah menanti keputusan ketua parti masing-masing. Bagi penyandang, mereka mahu dicalonkan semula. Tidak dicalonkan semula atau digugurkan adalah satu mimpi ngeri.

GPS mungkin akan menampilkan sekurang-kurangnya 20 muka baharu, sekali gus bermakna ada penyandang yang digugurkan. Ini termasuk 13 muka baharu SUPP, kerana daripada 20 kerusi ditandingi SUPP pada 2016, hanya tujuh calonnya menang. Itu pun kalau parti tertua Sarawak, yang ditubuhkan pada 1959 itu, tidak mencalonkan semula mereka yang tewas lebih lima tahun lalu.

Bagi yang disebut-sebut hendak menjadi calon, juga tidak tenang, siang dan malam. Maklumlah, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan. Masa untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi, saya percaya, kurang daripada 35 hari.

Yang penting, jangan pula sampai mengigau dalam tidur. Atau tersenyum seorang diri. Tunggu sahaja pengumuman ketua parti. Tidak perlulah gelabah. Tidak payahlah hendak mendesak parti. Atau meminta penyokong menyatakan mereka masih mahu anda mempertahankan kerusi berkenaan.

Digugurkan atau tidak dipilih menjadi calon ialah sebahagian daripada realiti pahit yang harus ditelan dengan tabah dan cekal. Bukan tidak ada penyandang dan calon berpotensi cuba melobi dan merayu melalui pelbagai strategi, pendekatan dan saluran untuk memastikan mereka dikekalkan atau dicalonkan.

Dunia gelap gelita seketika apabila berita buruk disampaikan bahawa seseorang tidak lagi dikekalkan untuk mempertahankan kerusi. Ada yang menangis apabila diberitahu tidak lagi dicalonkan semula. Sebelum ini, ada calon yang sudah mencetak semua poster dan berkempen agresif di akar umbi, tiba-tiba diberitahu tidak dicalonkan pada saat-saat akhir. Bayangkan!

Memang, banyak sebab atau faktor seseorang penyandang digugurkan. Antaranya, sudah berusia, terlalu lama mewakili kawasan, tidak memperlihatkan prestasi yang memuaskan, tidak disenangi ketua, pelbagai kelemahan peribadi, dan juga faktor kesihatan.

Kita harap calon yang digugurkan tidak merajuk. Sebaliknya terus menyokong perjuangan partinya, sama ada di pihak GPS atau pembangkang. Bukan tidak pernah kita mendengar sebelum ini, calon yang digugurkan, begitu kecewa dan merajuk sehingga mengambil tindakan drastik, dengan tidak menyokong calon pengganti. Sebaliknya, bekas Adun berkenaan mensabotaj pula calon baharu itu sehingga ada yang tewas di kerusi berkenaan.

Tujuannya berbuat demikian adalah untuk membuktikan bahawa dia masih lagi popular, dan bahawa keputusan kepemimpinan parti adalah salah. Kita telah menyaksikan pemimpin politik jenis ini dalam tempoh 40 tahun lalu.

Ada yang telah menjadi wakil rakyat atas tiket parti berkenaan untuk sekian lama, termasuk dilantik sebagai senator, dan diberi pelbagai kedudukan dan kemudahan lain, untuk kemudiannya mereka ini menjadi pengkhianat dengan tidak lagi menyokong parti yang pernah mendukungnya. Ini pemimpin yang lupa daratan dan tidak mengenang budi, malah hanya mementingkan diri sendiri. Perjuangan mereka tidak ikhlas.

Dalam beberapa minggu ini, malah sejak tahun lalu lagi, kita menyaksikan senarai nama calon pembangkang beredar melalui media sosial. Sudah ada parti pembangkang yang mencalonkan nama individu tertentu untuk menjadi ketua menteri. Ya, sesiapa sahaja dapat menyimpan angan-angan untuk menjadi YB dan ketua menteri. Pokok pangkalnya, bukan calon itu yang menentukan nasibnya.

Sebaliknya, lebih daripada 1.4 juta pengundi dalam PRN-12 nanti.

Pada PRN-11 terdapat 229 calon bertanding untuk merebut 82 kerusi dan menjadi wakil rakyat atau YB. Ini termasuk 82 calon dari BN, 40 (PKR), 31 (DAP), Pas (11), Star (11), PBDSB (5), dan 36 calon Bebas. Terdapat 20 calon wanita yang mencuba nasib, tetapi hanya enam yang menang, iaitu tiga dari PBB, seorang dari SPDP, dan dua calon langsung BN.

Memandangkan hanya ada 82 tempat di Dewan Undangan Negeri, ini bermakna 147 lagi pasti kecewa.

Seyogia diingat, semua calon bebas tewas, malah 20 orang hilang wang pertaruhan. Peluang untuk calon Bebas menang adalah tipis, kecuali calon berkenaan benar-benar tokoh besar, berpengaruh dan terkenal di peringkat akar umbi di kawasan ditandinginya.

Dalam PRN-11, BN memenangi 72 kerusi, DAP tujuh dan PKR tiga kerusi. Selepas kekalahan BN di peringkat nasional pada 2018, BN negeri keluar dari BN pusat untuk membentuk GPS pada Jun 2018.

Dalam PRN 2016, terdapat 12 kerusi yang menyaksikan perlawanan empat penjuru, 27 kerusi tiga penjuru, manakala 36 kerusi perlawanan langsung. Kerusi DUN Sarawak menyaksikan 28 kerusi majoriti Melayu/Melanau, Iban (23), Cina (15), Bidayuh (8), Orang Ulu (5), dan campuran tiga kerusi.

Adakah jumlah calon akan bertambah? Adakah jumlah calon wanita akan ditambah? Kita ingin menyaksikan bukan sahaja peningkatan dalam jumlah calon wanita, tetapi juga calon muka baharu bagi memastikan ada kesinambungan kepemimpinan dan juga memberi kesegaran kepada parti dan politik Sarawak. Calon muka baharu ini, tidak kira usia, penting untuk memastikan berlaku penyegaran dan transformasi dalam parti.

Bagi calon muka baharu kali ini, satu daripada cabaran dan ujian adalah berkempen dalam keadaan pelbagai sekatan dikenakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Justeru, kreativiti dan inisiatif diperlukan dari segi kempen dengan menggandingkan media baharu dan media konvensional bagi memastikan pengundi dapat didekati dipengaruhi.

Harus diingat, peratusan yang turun mengundi perlu dipastikan berada pada tahap munasabah. Pada PRN lalu, 70.01 peratus pengundi turun mengundi. Dalam sejarah Sarawak, peratusan paling tinggi adalah pada 1969 (80%) dan paling rendah pada 2006 (63.22%).

Untuk itu, pengundi perlu mengundi bukan sahaja bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sistem demokrasi, tetapi bagi memastikan keabsahan keputusan PRN nanti. Pilihan raya dan pengundian ialah satu daripada elemen dalam sistem pemerintahan demokrasi.

Pilihan raya merupakan ruang awam yang sah dari segi undang-undang. Ia peluang terbaik bagi rakyat menentukan pemimpin dan parti yang layak memerintah negeri. Jadi, pilihlah calon dan parti yang dapat menjamin masa depan negeri dari segi kestabilan sosiopolitik, kemakmuran ekonomi dan masa depan yang lebih baik untuk semua kaum di negeri ini.

Calon yang bagaimanakah disenangi dan dipilih rakyat? Apakah kriteria calon yang mampu disenangi dan mampu menang?

Jawapannya, calon yang senang didekati, rakyat senang mengadu masalah, sering berkunjung ke kawasan dan bertanya khabar tentang pengundi dan penduduk, dan mesra rakyat.

Juga mereka yang prihatin akan nasib mereka, sedia menyelesaikan masalah rakyat, ramah, tidak sombong, berintegriti, jujur, amanah, adil, tidak rasuah dan salah guna kuasa. Sudah pasti calon yang terkenal dan berpengaruh di peringkat akar umbi mempunyai kelebihan.

Bagi yang berangan-angan menjadi calon, pastikan anda lakukan yang terbaik pada waktu kempen. Gunakan strategi kempen terbaik dengan dan jika menang dalam PRN nanti — yang dijangkakan pada 18 Disember — anda perlu memenuhi kriteria wakil rakyat yang didambakan pengundi dan rakyat.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru