Friday, December 3, 2021

Wanita curi RM2.5 juta duit suami yang didakwa hidap alzheimer

Secara Rawak

CONNECTICUT: Seorang wanita dituduh mencuri hampir RM2.5 juta (AS$600,000) daripada akaun bank suaminya sejak 20 tahun lalu dan cuba menyembunyikannya setelah mendakwa suaminya menghidap alzheimer.

Donna Marino ditangkap kerana dilaporkan mencuri wang dalam bentuk cek pencen, bayaran pampasan pekerja dan pendapatan Keselamatan Sosial daripada suaminya selama 20 tahun.

Apabila anak perempuan mangsa menemui kertas kerja berkaitan kad kredit yang tidak diketahui bapanya, dia membuat laporan polis, kerana mengesyaki ibu tirinya mengawal kewangan keluarga mereka.

Apabila disoal siasat polis, suaminya mengesahkan dia menyerahkan semua urusan kewangan kepada Marino selepas diberitahu dia mengidap alzheimer.

Suaminya dikatakan amat takut dijangkiti penyakit tersebut dan biarpun dia tidak pernah mendapat rawatan doktor, namun dia tahu ibunya juga mengidap penyakit tersebut.

Situasi ini memudahkan Marino menyakinkannya bahawa dia juga mengidap alzheimer.

Hasil siasatan mendapati Donna Marino mengambil wang dari akaun suaminya dan memasukkannya ke dalam akaun ibunya.

Dia memberitahu polis menggunakan wang itu untuk “membantu keluarganya,” bukan untuk berbelanja membeli barangan mahal atau bercuti.

Biarpun begitu, dia masih didakwa dengan tuduhan melakukan rompakan besar peringkat pertama dan pemalsuan peringkat ketiga.

Dia juga diceraikan oleh suaminya selepas perbuatannya terbongkar, lapor odditycentral.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru