Saturday, December 4, 2021

SMK Asajaya terus lahirkan insan cemerlang

Secara Rawak

ASAJAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya menjadi sebuah sekolah luar bandar cemerlang selepas tiga tahun berturut-turut merekodkan hampir semua pelajar lulusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) ditawarkan ke Universiti Awam.

Menurut Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, prestasi pendidikan golongan belia di sekolah itu dititikberatkan untuk memastikan peluang untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dapat tercapai.

“Tahun ini, seramai 74 orang pelajar lulusan STPM layak ke universiti awam, lebih 90 orang direkodkan layak pada tahun lepas dan jumlah lingkungan sama pada tahun sebelumnya.

“Ini jelas menunjukkan prestasi yang amat membanggakan khususnya kepada penduduk warga Asajaya,” katanya selepas merasmikan penyerahan baucer bantuan pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak di Dewan Kampung Tambirat.

Katanya, rekod tersebut menjadikan SMK Asajaya menjadi antara empat buah sekolah luar bandar cemerlang dan terbaik di seluruh negeri Sarawak.

Tegas beliau, biarpun berhadapan dengan struktur prasarana yang tidak begitu lengkap, namun ia bukan menjadi alasan untuk sekolah di bawah kawasannya tidak dapat mempamerkan aksi cemerlang berbanding dengan sekolah yang mendapat prasarana lengkap khususnya sekolah bandar di negeri ini.

Mengulas mengenai perancangannya sebagai Menteri Sukan dan Belia Sarawak, Karim menegaskan sejak penubuhan kementeriannya, beliau telah mengaturgerakkan program-program belia bukan sahaja di kawasan Asajaya malah di seluruh Sarawak.

“Program tersebut telah dibentuk dalam bentuk sukan, jati diri, dan sebagainya sepanjang tahun,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru