Sunday, December 5, 2021

Elak diketahui tidur waktu bertugas, ini helah…

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki ditangkap polis setelah membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun kerana ingin mengelak diketahui tidur semasa bertugas oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 25 tahun itu membuat laporan polis disamun pada hari ini kira-kira jam 5 pagi di sebuah syarikat mengimport peralatan perindustrian di Muara Tabuan Light, Jalan Setia Raja, di sini

Katanya, berdasarkan laporan palsu yang dibuat, suspek mengatakan dirinya telah didatangi oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali memakai pelitup muka.

Beliau berkata, salah seorang suspek dikatakan telah mengacukan sebilah pisau dilehernya manakala seorang lagi suspek bertindak mengambil telefon bimbit dan serta wang tunai.

“Dalam kejadian itu, suspek tersebut mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM500.

“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek telah membuat laporan palsu. Perbuatan itu dilakukan kerana ingin mengelak diketahui tidur semasa bertugas oleh majikannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Kuching pada Isnin hadapan atas kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, Ahsmon mengingatkan orang ramai tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang berbuat demikian.

Katanya, individu yang didapati kesalahan membuat laporan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru