Friday, December 3, 2021

Cadangan buka semula pintu sempadan negara amat dialu-alukan – Karim

Secara Rawak

ASAJAYA: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap cadangan pembukaan semula sempadan Malaysia kepada pelancongan asing pada 1 Januari 2022 dapat dilaksanakan dengan segera.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan pilihan sesuai dalam usaha memulihkan semula aktiviti sosio ekonomi khususnya di Sarawak.

“Saya mengalu-alukan cadangan ini dan kita juga berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita setelah menyempurnakan Majlis penyerahan pampasan di Kampung Sambir, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pembukaan sempadan kepada pelancongan asing tidak lagi menjadi masalah kepada Malaysia selepas rekod pencapaian kawalan Covid-19 di negara ini bertambah baik.

“Di Malaysia, lebih 90 peratus rakyat sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19, manakala hampir 97 peratus golongan yang dijangkiti berada dalam kategori satu dan juga dua,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, beliau turut berharap agar sempadan Sarawak segera dibuka bagi membolehkan pelancong negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei dibenarkan masuk ke negeri ini.

Bagaimanapun keputusan tersebut memerlukan kerjasama menerusi perjanjian Gelembung Perjalanan Lorong Hijau Timbal Balik (RGL).

Terdahulu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mencadangkan kepada kerajaan agar pintu sempadan negara dibuka semula kepada pelancong asing selewat-lewatnya 1 Januari 2022.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru