Sunday, July 3, 2022

PRN Sarawak: Siapa penyandang wanita yang digugurkan? Ini jawapannya

Secara Rawak

KUCHING: Berapa banyakkah calon wanita bakal ditampilkan dalam PRN-12 nanti?

Ini baik untuk GPS mahupun parti pembangkang.

Satu daripada tuntutan setiap kali ada pilihan raya ialah perlu ditambah jumlah calon wanita.

Dalam PRN lalu, terdapat 20 calon wanita mencuba nasib.

Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak,  Datuk Sri Fatimah Abdullah  beberapa hari lalu menyatakan, calon wanita tidak akan terpinggir dalam  PRN-12.

Jelasnya, dari segi bilangan calon wanita sama ada muka baharu atau lama akan diumumkan sendiri presiden yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ketua Menteri.

“Saya yakin Presiden Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak akan meminggirkan calon wanita pada PRN12.

“Seperti dikatakan Ketua Menteri semalam, belum sampai masanya untuk beliau umum calon-calon yang akan mewakili GPS daripada empat parti komponen namun saya percaya Abang Jo lebih arif dan seorang yang bijak dalam mempertimbangkan soal calon yang akan dipilih termasuk dari kaum wanita,” beliau dipetik berkata.

PBB dijangka akan menampilkan sekurang-kurangnya empat calon wanita dalam PRN nanti, termasuk difahamkan menurut akar umbi muka baharu bagi menggantikan seorang  penyandang  wanita yang akan digugurkan.

Sementara itu, Fatimah menyangkal dakwaan beliau ada menyatakan nama penyandang wanita dari PBB yang bakal digugurkan meskipun mengakui ada yang bakal  tidak lagi bertanding.

Namun, berlegar di media sosial dan di akar umbi bahawa yang bakal digugurkan ialah Semoi Peri (Lingga).

“Antara DUN yang mungkin akan menampilkan muka (baharu) adalah DUN28 Lingga yang sebelum ini disandang oleh YB Semoi Peri. Menurut pengundi kawasan DUN28, mereka akan tetap menyokong sesiapa yang dicalonkan oleh CM Abang Jo di DUN N28 Lingga,” lapor portal Sri Aman Mangsang Maju.

Dalam PRN lalu, Semoi meraih 2,943 undi majoriti apabila mendapat 4,169 undi berbanding calon  Bebas Datuk Wan Abdillah Edruce yang meraih 842 undi dan Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR)  yang memperoleh 1,226 undi.

Sementara itu, di Sematan semalam Naib Presiden PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan belum ada keputusan sama ada pertambahan jumlah calon wanita PBB dalam PRN nanti.

Keputusan berkenaan, katanya terserah kepada  Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menentukannya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru