KUCHING: SUPP hanya menang di tujuh daripada 20 kerusi DUn yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) pada 2016.
Pesaing sengitnya, DAP menang tujuh kerusi daripada 31 kerusi ditandinginya.
Malah, parti pimpinan Chong Chieng Jen itu menyaksikan tujuh orang calon hilang wang pertaruhan. DAP meraih hampir 20 peratus daripada keseluruhan 654,109 undi. Sejumlah 70.01 peratus daripada pengundi turun mengundi pada 2016.
Kawasan yang dimenangi SUPP ialah Senadin menerusi Datuk Seri Lee Kim Shin, Batu Kawa (Datuk Seri Dr Sim Kui Hian), Batu Kitang (Lo Khere Chiang), Simanggang (Datuk Francis Harden Hollis), Repok (Datuk Seri Huang Tiong Sii), Meradong (Datuk Ding Kuong Hiing) dan Piasau (Datuk Sebastian Ting).
Persoalan besar sekarang ialah, mampukah DAP menambah kerusi?
Beberapa hari lalu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meminta masyarakat Cina untuk terus memberi sokongan kepada parti komponen GPS bagi memastikan wakil mereka turut serta dalam usaha membangunkan Sarawak.
Justeru katanya, parti komponen yang dianggotai majoriti masyarakat Cina iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan wakil mereka terus berada dalam kerajaan apabila GPS menerima mandat baharu pada RN-12.
“Kita mahu membentuk kerajaan yang kuat (selepas mendapat mandat baru) bagi memastikan pembangunan terus dilaksanakan dengan lancar.,” jelasnya
“Untuk itu kita memerlukan penyertaaan semua kaum termasuk sokongan berterusan masyarakat Cina,” katanya.