Thursday, May 19, 2022

Gara-gara laporan palsu disamun…

Secara Rawak

KUCHING: Seorang jurujual telefon dijatuhi hukuman penjara 10 hari atau denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.

Tertuduh, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching, kira-kira jam 10.30 pagi, 25 September lepas.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai polis telah membuat soal siasat terhadap tertuduh yang membuat laporan polis mengenai satu kejadian samun hingga menyebabkan barang miliknya hilang.

Antara barang-barang yang dilaporkan hilang ialah kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon pintar dan wang berjumlah RM10.00.

Namun, hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku membuat laporan palsu kerana beg tangannya telah tercicir di kawasan pengawal keselamatan sebuah pusat beli belah sekitar jam 8.30 petang, 24 September lepas.

Malahan, barang-barang yang dilaporkan hilang juga telah dijumpai oleh pengawal keselamatan di kawasan letak kereta bawah tanah pusat beli belah terbabit sebelum tertuduh membuat laporan.

Difahamkan, tertuduh sengaja membuat laporan palsu dengan tujuan bimbang dikenakan denda kerana kad pengenalannya hilang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru