Tuesday, June 28, 2022

Tiada set SOP berbeza untuk parti GPS dan pembangkang

Secara Rawak

KUCHING: Tiada dua set Prosedur Operasi Standard (SOP) dan undang-undang untuk parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan juga untuk pembangkang, kata penyandang DUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Karim, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai dua set SOP dan undang-undang berbeza untuk parti GPS dan juga untuk pembangkang.

“Dia (Chong) beritahu bahawa dengan SOP yang telah diketatkan seperti memberi kesulitan kepada pembangkang.

“Apa yang telah ditetapkan untuk GPS juga ditetapkan untuk parti pembangkang. Tiada beza,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyuarakan pilihan raya ini sebagai tidak adil, dalam kenyataannya pada Sabtu (6 November).

Jelasnya, walaupun belum dimaklumkan lagi tetapi jika dilihat apa yang berlaku di PRN Melaka, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan SOP-SOP tertentu yang berkemungkinan akan diguna pakai di PRN Sarawak.

“Antaranya adalah tidak boleh berkempen rumah ke rumah, tidak boleh adakan perhimpunan.

” Inilah yang telah menyebabkan Chong mengeluarkan kenyataan tersebut yang mengatakan bahawa kaki kami kena ikat, tangan kami kena ikat dan pilihan raya ini adalah pilihan raya yang tidak adil”, ujarnya.

Tambahnya, kenyataan seperti itu seolah-olah SOP itu hanya untuk mereka.

“Kami pun tidak boleh. Kami juga tidak dapat ruang seperti itu untuk berkempen dan sekarang kita juga mencari bagaimana hendak berhubung dengan pengundi-pengundi dalam kawasan-kawasan kita.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru