Saturday, December 4, 2021

Pesta liar: Polis antara ditahan di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 14 individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang anggota polis berpangkat Koperal ditahan dalam satu serbuan parti liar di sebuah apartmen di Jalan Batu Kawa pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail yang mengesahkan tangkapan tersebut berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan orang lelaki dan lima orang perempuan.

“Turut ditahan dalam tangkapan tersebut adalah seorang penolong pegawai kesihatan dan seorang pelajar perempuan tingkatan 4,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pasukan operasi turut merampas sebanyak 14.57 gram ketamin, 14 biji pil ekstasi dan lima biji pil eramin dalam serbuan tersebut.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif. Methaphetamine dan Amphetamine.

“Kesemua suspek kini ditahan reman di lokap Siburan dan lokap Beratok, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sehingga 8 November,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sekysen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya1952.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru