Sunday, July 3, 2022

Kit Siang bimbang hanya 30% turun mengundi di Sarawak, Melaka

Secara Rawak

KUCHING:  Veteran DAP Lim Kit Siang bimbang peratusan keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan Melaka mungkin serendah 30%.

“Terdapat rasa tidak ambil peduli, putus asa, dan ketandusan kerana tidak banyak perubahan berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, lupa bahawa kerajaan PH sepatutnya bertahan selama lima tahun sehingga ia digulingkan secara tidak demokratik oleh Langkah Sheraton,” katanya seperti dipetik FMT.

“Saya bimbang peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka dan Sarawak mungkin serendah kurang 30%,” katanya sambil menambah, PRN tersebut adalah pelopor penting bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kit Siang bercakap pada pelancaran bukunya “Lim Kit Siang – Patriot, Leader, Fighter” oleh rakan separti, Liew Chin Tong di Skudai, Johor malam tadi, beliau mengeluh bahawa terlalu banyak aura negatif di Malaysia hari ini.

Untuk rekod,  pada PRN-11 Sarawak, peratusan yang turun mengundi daripada 1,138,650 pengundi berdaftar ialah 70.1 peratus.

Peratusan paling rendah pernah direkodkan bagi PRN Sarawak adalah bagi PRN kesembilan pada 2006 apabila hanya 63.22 peratus yang turun mengundi.

Rekod tertinggi adalah pada 1969 apabila 80 peratus pengundi turun mengundi.

Kebimbangan Kit Siang itu adalah di sebalik kerisauan pengundi untuk turun mengundi ketika PRN diadakan di tengah-tengah Covid-19 masih melanda.

Bagaimanapun, penganalisis politik percaya bahawa keyakinan untuk mengundi dalam kalangan pengundi dapat ditingkatkan dengan adanya vaksinasi, SOP dan Tatapelakuan Pengundi  dan strategi komunikasi berkesan untuk membujuk pengundi agar turun mengundi.

Beliau mempersoalkan sama ada slogan “Keluarga Malaysia” Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hanya satu slogan kosong, seperti yang digambarkan oleh Bajet 2022, yang menurut bekas penasihat ekonomi kerajaan PH, Mohammad Abdul Khalid sekalipun, memperuntukkan berbilion-bilion kepada Bumiputera berbanding komuniti lain.

Mengenai wabak Covid-19, Lim berkata, beliau ingin melihat kes baharu harian turun kepada dua angka, dan kematian harian kepada satu angka menjelang tarikh akhir 100 hari pertama Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan, iaitu pada 7 Dis.

“Ini adalah krisis negara paling utama dan keutamaan negara mestilah menyelamatkan nyawa dan mata pencarian,” katanya.

“Inilah sebabnya DAP menyokong pendirian PH untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri – untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, serta menukar kekalahan dalam wabak Covid-19 menjadi kemenangan.

“Kami bersedia mengenepikan semua perbezaan politik, kaum, agama dan peribadi untuk menandatangani MoU kerana kami tidak mahu lima juta kes Covid-19 atau 100,000 kematian di Malaysia.

“MoU itu telah memperlahankan peningkatan kes daripada kemuncak harian 24,599 kepada 4,626, dan kematian harian daripada kemuncak 463 kepada 36, tetapi penurunannya terlalu perlahan.”

Lim juga berbicara mengenai kerja politiknya selama 57 tahun, dan Impian Malaysia, “yang saya rumuskan pada zaman persekolahan saya di Batu Pahat pada 1950-an”.

Beliau juga berkata, DAP adalah parti yang berdedikasi terhadap kepentingan negara, “sebab itu saya telah mencadangkan moratorium politik agar semua parti dapat bersatu”, pada 1969, 1987 dan tahun ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru